KUALA LUMPUR – Bersatu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya parti itu akan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan mengenai wujudnya pertemuan dan perbincangan antara pimpinan partinya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tujuan mewujudkan kerjasama dengan PH juga tidak benar.
Menurut beliau, dakwaan tersebut merupakan fitnah dan tidak berasas yang dimainkan pihak tertentu bagi menutup kegagalan pengkhianatan dalam gerakan Langkah Bangkok.
“Bersatu juga menangkis fitnah bahawa wujud pertemuan dan perbincangan di antara pimpinan Bersatu dengan PKR untuk maksud mewujudkan kerjasama dengan PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berkata, rakyat perlu berhati-hati dengan penyebaran berita daripada pihak yang didakwanya cuba memecahkan perpaduan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Tambah beliau, Bersatu kini semakin kuat dan berkembang dengan sokongan rakyat serta golongan profesional selain kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkannya berpengalaman dan terbukti berjaya mentadbir negara.
Beliau turut menegaskan, Bersatu kekal berpegang kepada prinsip perjuangan parti serta komited mempertahankan muafakat dalam PN. – MalaysiaGazette
















