Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Generasi (G2G) FELDA Bukit Goh, Jefri Salim.

KUANTAN – Sinar bakal muncul selepas 12 tahun hidup menyaksikan tanah yang suatu ketika dahulu menjadi sumber rezeki bertukar rosak serta terbiar akibat perlombongan bauksit sekali gus menukar landskap baru kepada 671 peneroka Felda Bukit Goh.

Ia bakal menjadi lipatan sejarah apabila semua peneroka kini berpeluang menentukan sendiri masa depan tanah mereka apabila tiga cadangan pembangunan utama diperkenalkan bagi menghidupkan semula kawasan yang sekian lama terkesan akibat kerakusan perlombongan bauksit.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Generasi (G2G) Felda Bukit Goh, Jefri Salim berkata, peneroka amat menghargai kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang termasuk Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang tampil mencari jalan penyelesaian terhadap isu berlarutan sejak tahun 2014 itu.

Cadangan tersebut melibatkan pembangunan ladang solar, penanaman semula kelapa sawit dan pembangunan bercampur itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penyelarasan Cadangan Pembangunan FELDA Bukit Goh yang berlangsung pada 20 Mei lalu.

Bagi ramai peneroka, sesi town hall tersebut bukan sekadar mesyuarat biasa tetapi detik yang menghidupkan kembali harapan selepas bertahun-tahun menunggu penyelesaian terhadap nasib tanah mereka dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kami sudah terlalu lama menunggu. Tanah rosak, hasil tiada dan peneroka terpaksa menanggung beban selama lebih 10 tahun. Jadi apabila kerajaan negeri tampil membawa cadangan pembangunan dan penyelesaian, ia memberi sedikit kelegaan serta harapan baharu kepada warga Felda Bukit Goh,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau, jawatankuasa khas dijangka membuat keputusan seawal bulan hadapan, namun G2G berharap satu lagi sesi penerangan terperinci dapat diadakan supaya semua peneroka memahami secara jelas risiko dan manfaat setiap projek yang dicadangkan.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Generasi (G2G) FELDA Bukit Goh, Jefri Salim (tengah) menunjukkan peta keseluruhan Felda Bukit Goh di Kuantan hari ini

Berdasarkan maklum balas awal, ramai peneroka dilihat lebih cenderung memilih projek ladang solar kerana ia mampu memberi pendapatan bulanan berterusan tanpa memerlukan kos tinggi seperti projek penanaman semula kelapa sawit.

“Jika pembangunan lain seperti projek perumahan atau komersial dijalankan, tanah peneroka berkemungkinan dibeli oleh pihak pemaju dan hasil jualan pula tidak dibayar sepenuhnya secara sekaligus sebaliknya mengikut progres pembangunan yang boleh mengambil masa lebih 10 tahun.

“G2G juga menyokong pendirian kerajaan Negeri Pahang bahawa pengeluaran bauksit tidak akan dijalankan sekiranya tiada projek pembangunan yang jelas dan memberi manfaat kepada peneroka di kawasan Felda Bukit Goh,” katanya.

Dalam masa yang sama, G2G meminta agar pihak luar atau mana-mana pemaju tidak lagi ‘menggula-gulakan’ peneroka dengan tawaran habuan tinggi semata-mata untuk tujuan pengeluaran bauksit tanpa sebarang perancangan pembangunan yang mampan di kawasan Felda Bukit Goh.

Beliau turut mengingatkan projek pembangunan bercampur pula berisiko menyebabkan peneroka kehilangan tanah kerana perlu diserahkan kepada pihak pemaju dengan pampasan dibayar secara berperingkat.

Tambah beliau, projek pembangunan tersebut akan melibatkan keseluruhan 671 peneroka Felda Bukit Goh tanpa mengira sama ada tanah mereka sebelum ini terjejas atau tidak akibat aktiviti perlombongan bauksit.

“Peneroka mesti faham betul-betul sebelum buat keputusan kerana ia melibatkan masa depan generasi akan datang. Kalau tanam semula sawit, peneroka perlu tunggu bertahun-tahun sebelum mendapat hasil. Tanah pula perlu dipulihkan dengan kos yang tinggi akibat kerosakan sebelum ini.

“Tetapi projek solar boleh memberi pulangan jangka panjang dan tanah masih kekal milik peneroka untuk diwarisi anak cucu,” katanya.

Dalam masa sama, G2G menegaskan sokongan penuh terhadap pendirian Kerajaan Negeri Pahang bahawa aktiviti perlombongan bauksit tidak sepatutnya dibenarkan semata-mata untuk keuntungan tanpa pelan pembangunan jelas yang benar-benar memberi manfaat kepada peneroka.

“Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini. Peneroka sudah lama menjadi mangsa kerakusan pihak tertentu yang hanya mahu keuntungan hasil bauksit tetapi meninggalkan tanah rosak dan masalah kepada rakyat,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini melaksanakan moratorium perlombongan bauksit di Pahang pada tahun 2016 susulan kegiatan perlombongan tidak terkawal yang menyebabkan pencemaran serius termasuk menjejaskan sumber air dan alam sekitar.

Moratorium itu dilanjutkan sebanyak sembilan kali sebelum ditarik balik pada 31 Mac 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast