KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan gangguan sementara yang melibatkan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) berjaya dipulihkan sepenuhnya selepas menjejaskan urusan pemeriksaan dan pemprosesan di beberapa pintu masuk negara hari ini.
KDN turut menegaskan, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang serangan atau ancaman keselamatan siber serta tiada kebocoran data direkodkan.
Menurut KDN, gangguan itu berpunca daripada masalah teknikal dalaman yang menjejaskan operasi sistem selama kira-kira tiga jam 45 minit.
“Sejurus insiden dikesan, Jabatan Imigresen Malaysia bersama pasukan teknikal berkaitan telah mengambil tindakan segera bagi melaksanakan proses pemulihan sistem.
“Hasil tindakan pantas yang diambil, sistem berjaya dipulihkan sepenuhnya dan kembali beroperasi seperti biasa dalam tempoh 45 minit selepas kerja-kerja pemulihan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KDN berkata, semua maklumat yang disimpan dalam sistem kekal selamat dan terpelihara sepanjang tempoh gangguan berlaku.
Menurut kementerian itu, sistem kritikal yang beroperasi secara berterusan dan mengendalikan jumlah transaksi tinggi memerlukan pemantauan serta penambahbaikan berterusan bagi memastikan kestabilan operasi berada pada tahap optimum.
Pada masa sama, proses naik taraf sistem MyIMMs kepada MyNIISe sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan kapasiti, keupayaan serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada pengguna.
Susulan insiden tersebut, Jabatan Imigresen Malaysia kini melaksanakan beberapa langkah pengukuhan termasuk meningkatkan kapasiti storan dan infrastruktur sistem, memperkukuh mekanisme pemantauan masa nyata (real-time monitoring), menambah baik pelan pemulihan gangguan serta mempercepatkan projek naik taraf MyIMMs.
KDN turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna sepanjang tempoh gangguan dan menghargai kesabaran serta kerjasama diberikan.
“KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia kekal komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta pengurusan pintu masuk negara dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette
















