Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada semua pelajar sekolah menengah bawah KPM dan penuntut institut pendidikan tinggi sempena Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 hari ini.

KPM dalam satu kenyataan berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh budaya membaca dan memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti dalam kalangan pelajar.

Menurut kementerian itu, pemberian baucar berkenaan juga diyakini mampu meringankan beban kewangan keluarga selain menggalakkan pelajar mendapatkan bahan ilmiah dan rujukan yang bermanfaat.

“KPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas keprihatinan berterusan terhadap agenda pendidikan negara serta pembangunan modal insan menerusi pembudayaan ilmu dan amalan membaca,” katanya.

Tambah kenyataan itu, KPM akan melaksanakan segera pemberian baucar buku tersebut bagi memastikan manfaat dapat dinikmati oleh pelajar yang terlibat dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku RM100 kepada pelajar sekolah menengah dan penuntut institusi pendidikan tinggi ketika merasmikan PBAKL 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast