Anggota bomba menggunakan peralatan khas menyelamat untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di dalam Toyota Hilux.

ROMPIN – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Alza berhampiran Masjid Kampung Bangkong, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.08 malam itu, mangsa yang menaiki Toyota Hilux disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit dalam kenderaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.07 malam sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin bersama sebuah jentera FRT dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.36 malam dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux sebuah Perodua Alza.

“Lima mangsa berada dalam Toyota Hilux dengan seorang lelaki dewasa maut akibat tersepit, seorang lagi cedera selepas tersepit manakala tiga lagi hanya mengalami cedera ringan.

“Seorang lelaki dewasa yang menaiki Perodua Alza turut mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas menyelamat untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di dalam Toyota Hilux.

Mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Mayat mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 7.57 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast