KUALA LUMPUR – Pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya tidak wajar dijadikan isu politik oleh mana-mana pihak kerana keutamaannya adalah untuk memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan awam yang lebih baik, kata Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pengambilalihan sementara sebuah hospital swasta bersaiz sederhana di Petaling Jaya untuk beroperasi sebagai hospital awam sementara menunggu hospital baharu siap dibina.
Menurutnya, tindakan beberapa pihak termasuk MCA Selangor yang mempersoalkan kelewatan projek Hospital Awam Petaling Jaya adalah tidak wajar kerana isu kesihatan rakyat tidak sepatutnya dijadikan modal politik.
“Petaling Jaya sudah lama memerlukan sebuah hospital awam sendiri bagi menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat serta mengurangkan tekanan terhadap hospital awam sedia ada di kawasan sekitar seperti Klang dan Shah Alam.
“Dalam tempoh menunggu hospital baharu dibina, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan Galen Centre for Health and Social Policy supaya sebuah hospital swasta sedia ada di Petaling Jaya disewa dan diambil alih operasinya sebagai hospital awam, sama ada secara sementara atau bagi tempoh tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan konsep kerjasama awam-swasta yang telah diperkenalkan Kementerian Kesihatan menerusi Hospital Outsourcing Programme (HSOP) sejak 2023, yang membolehkan perkhidmatan kesihatan tertentu seperti radiologi dan kardiologi diperoleh daripada hospital swasta.
Menurutnya, pendekatan tersebut berpotensi menjadi penyelesaian praktikal bagi mengurangkan kesesakan di hospital awam sekitar Lembah Klang selain membolehkan penduduk Petaling Jaya mendapatkan rawatan awam lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.
Mengulas mengenai projek Hospital Awam Petaling Jaya, Faiz berkata, cadangan pembinaannya bukanlah agenda baharu kerana ia telah lama menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan negeri.
Beliau berkata, Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 yang diwartakan pada 2011 telah mengambil kira keperluan pembinaan sebuah hospital awam di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pembinaan hospital awam memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dari segi kelulusan, peruntukan kewangan, perancangan teknikal serta pelaksanaan projek.
“Ketika cadangan ini mula dirancang di peringkat negeri, Kerajaan Persekutuan masih berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Hanya selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada 2018, usaha mengenal pasti tapak yang sesuai dapat digerakkan dengan lebih serius,” katanya.
Beliau menambah, usaha tersebut bagaimanapun terganggu susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton selain krisis pandemik Covid-19 yang menyebabkan pelbagai agenda pembangunan negara tertangguh.
Menurutnya, peluang membangunkan Hospital Awam Petaling Jaya pada kos yang lebih rendah juga telah terlepas apabila harga tanah di kawasan itu kini semakin meningkat.
Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu menilai secara teliti aspek kos, akses pengangkutan, kesesuaian lokasi serta keperluan penduduk sebelum membuat keputusan berhubung tapak pembinaan hospital berkenaan.
Pada masa sama, beliau menyifatkan komitmen Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam menggerakkan semula projek tersebut sebagai sesuatu yang perlu dinilai secara adil.
Katanya, kawasan seperti Taman Medan yang mempunyai populasi besar penduduk Melayu dan golongan B40 berpotensi mendapat manfaat besar sekiranya dipilih sebagai lokasi Hospital Awam Petaling Jaya.
“Rakyat harus menolak politik sempit dalam isu ini. Projek hospital awam bukan soal keuntungan politik mana-mana pihak, tetapi melibatkan nyawa, kesihatan dan kebajikan rakyat.
“Usaha Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri Selangor untuk merealisasikan Hospital Awam Petaling Jaya sewajarnya mendapat sokongan semua pihak,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















