Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tegas dan drastik bagi menangani kes jenayah seksual di sekolah yang semakin membimbangkan.

Ia khususnya melibatkan guru dan murid selain memastikan langkah pencegahan dilaksanakan di semua institusi pendidikan di negara ini.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Mohd Hafez Sabri berkata, pendedahan berhubung kes seumpama itu seharusnya membuka mata semua pihak terhadap krisis dalaman yang serius sedang melanda institusi pendidikan negara.

Menurut beliau, isu jenayah seksual yang melibatkan guru dan murid merupakan perkara yang sangat genting, lebih-lebih lagi apabila terdapat kelemahan dalam pengurusan kes oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah.

“Lebih membimbangkan apabila terdapat tindakan yang dilihat tidak wajar dan seolah-olah bertujuan menutup sesuatu kes daripada diketahui masyarakat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada terdapat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas dalam menguruskan krisis khususnya kes jenayah seksual yang serius melibatkan warga sekolah.

Katanya, aspek perlindungan terhadap mangsa juga perlu diberikan perhatian kerana terdapat dakwaan bahawa guru yang menjadi tertuduh masih bebas berada dalam kawasan sekolah walaupun siasatan sedang dijalankan.

“Apakah bentuk mekanisme perlindungan yang tegas terhadap murid yang menjadi mangsa, sedangkan guru yang dituduh masih berada dalam persekitaran sekolah?” soalnya.

Mohd Hafez menegaskan, isu jenayah seksual di sekolah bukan perkara kecil atau remeh kerana institusi pendidikan seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak menimba ilmu.

Sehubungan itu, beliau mengulangi gesaan agar KPM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kes jenayah seksual yang didedahkan kepada umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast