KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur tidak perlu dijadikan sebagai “hub hiburan” semata-mata untuk menarik pelancong kerana kekuatan sebenar Malaysia terletak pada identiti budaya, kepelbagaian masyarakat, nilai ketimuran serta warisan unik yang menjadi tarikan utama pelawat dari seluruh dunia.
Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia, Nuridah Salleh berkata, trend pelancongan masa kini menunjukkan pelancong bukan hanya mencari hiburan malam atau pusat pesta, sebaliknya lebih berminat menikmati pengalaman autentik yang merangkumi budaya tempatan, makanan tradisi, sejarah, seni, alam semula jadi serta kehidupan masyarakat setempat.
Menurutnya, Kuala Lumpur sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri yang mampu menarik kehadiran pelancong antarabangsa tanpa perlu bergantung kepada industri hiburan secara berlebihan.
Antaranya, kata beliau, termasuk Menara Berkembar Petronas, Masjid Negara serta kepelbagaian budaya yang hidup dalam masyarakat majmuk negara ini.
“Pembangunan sektor pelancongan yang terlalu bergantung kepada industri hiburan berpotensi memberi kesan sosial dan moral kepada masyarakat setempat.
“Sesebuah negara maju tidak diukur berdasarkan jumlah pusat hiburan yang dimiliki, sebaliknya melalui keupayaan membangunkan bandar yang selamat, bersih, mesra keluarga dan mempunyai keseimbangan nilai kehidupan.
“Kuala Lumpur boleh menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia melalui pelancongan ilmu, pelancongan kesihatan, pelancongan Islamik, makanan halal, ekopelancongan serta program kebudayaan yang memperkenalkan identiti Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya, ramai pelancong asing memilih Malaysia kerana suasana harmoni dan sederhana yang wujud dalam negara ini serta ingin melihat bagaimana masyarakat Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik lain dapat hidup bersama dalam keadaan aman dan saling menghormati.
Jelasnya, kekuatan tersebut perlu diperkukuhkan dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat ekonomi, ilmu, teknologi dan budaya, bukannya dikenali hanya sebagai pusat hiburan.
Beliau turut menegaskan bahawa pelancongan yang berteraskan nilai dan identiti nasional akan lebih lestari, dihormati serta mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada negara dan generasi akan datang. – MalaysiaGazette
















