Aliff Taufid

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa serta pihak-pihak berkaitan digesa tampil memberikan penjelasan yang telus serta terperinci berhubung tindakan penghentian tayangan filem Konspirasi secara mengejut.

Inisiator Pertubuhan Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPO), Aliff Taufid, keputusan menghentikan tayangan filem itu tanpa penerangan menyeluruh hanya akan mencetuskan pelbagai spekulasi dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Tegas beliau, orang ramai berhak mengetahui sebab sebenar di sebalik tindakan tersebut bagi mengelakkan timbulnya tanda tanya terhadap proses dan asas pertimbangan yang digunakan oleh pihak berwajib.

Katanya, sekiranya terdapat isu melibatkan kandungan filem berkenaan, perkara itu perlu dijelaskan secara profesional agar rakyat dapat memahami rasional keputusan yang dibuat.

“Namun, sekiranya alasan yang diberikan tidak munasabah atau tidak mempunyai justifikasi yang kukuh, maka tayangan filem tersebut wajar dipertimbangkan untuk dibuka semula demi menghormati hak masyarakat untuk menilai sesuatu karya secara matang dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aliff berkata, filem bukan sekadar medium hiburan, sebaliknya berperanan sebagai platform pendidikan, kesedaran sosial dan penyampaian mesej yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berpandangan, karya yang mengangkat isu berkaitan integriti, jenayah, keselamatan atau kepentingan negara seharusnya dinilai secara adil berdasarkan kandungannya dan bukannya terus dihentikan tanpa penjelasan yang meyakinkan kepada umum.

Tambah beliau, prinsip keterbukaan dan kebebasan bersuara yang sering dilaungkan kerajaan perlu diterjemahkan secara konsisten dalam setiap keadaan.

“Sesebuah negara yang matang memerlukan ruang untuk rakyat berfikir, menilai dan membuat pertimbangan sendiri terhadap sesuatu isu.

“Justeru, penjelasan yang telus serta tindakan yang adil amat penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi dan proses membuat keputusan terus terpelihara,” katanya.

Terdahulu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengesahkan penamatan tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam negara dibuat atas permintaan penerbit sendiri dan bukan arahan mana-mana pihak.

Finas dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima pengesahan berhubung perkara itu daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem berkenaan.

Konspirasi mengangkat kisah anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan misi berisiko tinggi dalam membanteras jaringan rasuah dan kebocoran maklumat sulit. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast