KUALA LUMPUR – Seorang peguam menjelaskan, individu yang memiliki lesen senjata api tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan tembakan kerana mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk bertindak sedemikian di negara ini.
Vivek Sukumaran berkata, pemilikan senjata api dan penggunaan senjata api yang sah adalah perkara yang berbeza.
Jelas beliau, senjata api tertakluk kepada peraturan berkanun yang meluas, syarat pelesenan dan sekatan keselamatan awam menyebabkan individu tidak mempunyai budi bicara peribadi untuk melepaskan tembakan.
Sehubungan itu, ujar Vivek, orang ramai berhak mendapat penjelasan yang telus sama ada pelepasan senjata api itu dibenarkan, sah dan mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.
“Keyakinan dalam pentadbiran keadilan diperkukuh apabila penyiasatan dijalankan secara profesional, bebas dan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” ujarnya dalam kenyataan semalam.
Peguam itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Jenayah, Majlis Peguam menyatakan demikian atas kapasiti peribadi.
Vivek mengulas insiden melibatkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah selepas video memaparkan beliau dipercayai menembak seekor lembu korban menggunakan senapang patah tular sehingga mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, polis akan memanggil Abu Bakar dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Dalam kenyataan itu, Vivek berkata, siasatan harus meneliti sama ada kelakuan yang digambarkan mematuhi semua keperluan undang-undang yang berkenaan.
Jelas beliau, ia termasuk pemeriksaan terhadap kelas lesen yang dipegang dan tujuan senjata api itu dilesenkan di bawah Akta Senjata 1960.
“Siasatan juga harus di bawah Kanun Keseksaan dengan mempertimbang sama ada cara melepaskan senjata api menimbulkan risiko kepada orang awam,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan turut bergantung kepada keadaan fakta, peruntukan yang berkaitan dengan tindakan cuai, terburu-buru atau membahayakan nyawa manusia atau untuk keselamatan diri.
Selain itu kata beliau, Akta Kebajikan Haiwan 2015 mewujudkan rangka kerja berkanun yang komprehensif yang mengawal rawatan dan pembunuhan haiwan dan memperkasakan pembuatan peraturan mengenai amalan penyembelihan dan piawaian kebajikan haiwan. – MalaysiaGazette
















