Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. Foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 secara rasmi dikuatkuasakan bermula bermula esok.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, ia sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem pembiayaan sewa beli lebih adil, telus dan berdaya saing.

Katanya, sebanyak 11 entiti institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli akan menawarkan pinjaman mengikut pindaan peruntukan Akta 212 dan peraturan subsidiari.

“Institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli digalakkan
untuk menawarkan perkhidmatan berdasarkan kerangka undang-undang baharu ini pada kadar segera dan memaklumkan kementerian sebaik memuktamadkan proses peralihan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas beliau, reformasi undang-undang itu membuktikan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara.

Sehubungan itu, Armizan menasihatkan pengguna yang ingin mendapat manfaat di bawah peruntukan undang-undang baharu berkenaan supaya membuat semakan sebelum memuktamadkan perjanjian sewa beli.

Terdahulu katanya, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang masih dalam proses persediaan termasuk integrasi dan pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027, sebelum fasa kedua bermula September tahun ini.

Armizan berkata, antara langkah yang dilaksanakan menerusi pindaan akta itu adalah memansuhkan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78).

Ujar beliau, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.

Katanya lagi, turut diperkenalka Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.

“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna.

“Di samping itu, pindaan ini turut memperkenalkan keperluan dua pelaksanaan usaha wajar untuk pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan,” tambah beliau.

Armizan berkata, sebelum pindaan dilakukan transaksi sewa beli dalam pembelian kenderaan, khususnya melibatkan beban caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi antara menjadi keluhan rakyat.

“Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast