KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan beliau sudah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan yang perlu susulan dakwaan beliau tidak membayar sewa pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubag Kerian (PKPKK).
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, tindakan itu bagi membersihkan namanya dan juga Pas.
Terdahulu, beliau sekali lagi menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai satu fitnah.
Menerusi laman sosial Facebooknya hari ini, Tuan Ibrahim turut mengemukakan bukti pembayaran sewa pejabat berkenaan bermula Januari 2025 hinggalah kali terakhir pada April lalu.
Tambah beliau, bayaran sewaan bulan Mei pula ditolak daripada lebihan deposit yang telah dipegang, seperti mana yang disarankan oleh peguam disebabkan arahan pengosongan premis oleh tuan punya yang tidak mengikut perjanjian sewa.
“Saya berharap penyebar fitnah yang mengatakan saya tidak membayar sewaan bangunan dapat menghentikan fitnah tersebut.
“Walaupun ada yang memohon maaf, malangnya fitnah yang disebar akan terus dibaca dan berlegar. Dosa terus berjalan sehingga semua kita bertemu dengan Allah,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan pemilik bangunan yang disewa oleh Tuan Ibrahim yang mendakwa berdepan isu sewaan sehingga menyebabkan beliau menghadapi kesukaran dan kerugian.
Malah, menurut individu berkenaan di laman Facebook, saman pemula susulan isu itu juga akan dibuka minggu depan. – MalaysiaGazette
















