Gambar hiasan aerotrain KLIA. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JANUARI 2025. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali beroperasi 24 jam sehari bermula tengah malam malam ini, susulan siapnya Pelan Tindakan Komprehensif (CAP), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata, pelan berkenaan yang dilaksanakan sejak November 2025 melibatkan koordinasi bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan telah disahkan oleh penilai kereta api bebas.

“CAP merangkumi tiga peringkat berstruktur, iaitu kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan, ujian serta pengesahan sistem dan operasi percubaan.

“Ujian ketahanan dijalankan selama tempoh 24 jam dan 48 jam dalam keadaan berpenumpang dan tanpa penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loke berkata Aerotrain telah merekodkan tahap Ketersediaan Perkhidmatan Operasi 100 peratus sejak Januari 2026.

Beliau berkata waktu untuk kerja-kerja kejuruteraan harian dari 12 tengah malam hingga 5 pagi akan terus dikekalkan, dengan sebuah tren kekal beroperasi untuk perkhidmatan penumpang sementara kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan rutin dijalankan.

“Kementerian Pengangkutan melalui APAD akan terus melaksanakan pengawasan kawal selia terhadap operasi Aerotrain, manakala Malaysia Airports kekal bertanggungjawab untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang ditetapkan di bawah pelan ini,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast