Marina Ibrahim

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Skudai, Marina Ibrahim mengumumkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Menurut beliau, keputusan tersebut diambil setelah perbincangan bersama-sama individu yang rapat dengannya.

“Dengan penuh rendah diri, saya, Marina Ibrahim, telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dan berundur daripada arena politik.

“Keputusan ini diambil setelah perbincangan bersama insan-insan yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang perjalanan ini.

“Kini, saya memilih untuk kembali kepada sesuatu yang amat dekat di hati saya sejak dahulu lagi iaitu berada di lapangan, menyantuni masyarakat dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sebelum saya melangkah ke dunia politik,” tulis beliau dalam Facebook miliknya hari ini.

Menerusi hantaran dalam Facebook tersebut, beliau memuat naik foto dipercayai dalam Pusat Khidmat DUN Skudai bersama-sama kakitangannya.

Menurut Marina, beliau cuba memberi khidmat yang terbaik dalam DUN Skudai sejak menjadi wakil rakyat sejak empat tahun lalu.

“Empat tahun yang lalu, saya datang ke Skudai dengan satu harapan yang sederhana tetapi besar maknanya, iaitu untuk berkhidmat.

“Saya hadir bukan dengan kekuatan yang besar, bukan juga dengan pasukan yang lengkap. Namun saya hadir dengan niat yang ikhlas dan keyakinan bahawa setiap amanah perlu dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Marina berkata, sepanjang tempoh tersebut, beliau sudah berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada masyarakat.

Jika terdapat kekurangan, kelemahan atau perkara yang tidak memenuhi harapan sesetengah pihak katanya, beliau dengan rendah hati memohon maaf.

“Saya hanyalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas daripada kekhilafan dan keterbatasan. Walaupun saya datang ke Skudai bersendirian, saya tidak pernah berjalan seorang diri.

“Dalam perjalanan ini, Allah SWT telah menemukan saya dengan ramai insan yang menjadi tulang belakang perjuangan dan penguat semangat saya.

“Mereka hadir daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama, namun perbezaan itu tidak pernah menjadi jurang. Sebaliknya, ia menyatukan kami dalam sebuah ikatan kekeluargaan yang dibina atas dasar kepercayaan, kasih sayang dan keinginan untuk berbuat baik kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu beliau ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sudah memberikan kepercayaan, sokongan dan peluang sepanjang saya memikul amanah sebagai ADUN Skudai.

“Terima kasih kepada setiap individu yang memberi sokongan pada 22 Mac 2022. Terima kasih kepada pasukan saya yang tidak pernah jemu berdiri bersama dalam saat mudah mahupun sukar.

“Segala pengorbanan, kesetiaan dan persahabatan yang diberikan akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya.

“Saya percaya setiap pertemuan mempunyai hikmahnya dan setiap perjalanan mempunyai pengakhirannya yang tersendiri. Berakhirnya satu babak bukan bermakna berakhirnya khidmat. Selagi diberikan kesempatan oleh Allah SWT, saya akan terus menyumbang kepada masyarakat dalam apa jua kapasiti yang mampu saya lakukan,” katanya.

Beliau mendoakan agar Skudai terus maju, masyarakatnya terus sejahtera dan dalam tempoh ini dirinya akan terus komited melaksanakan tugasan di lapangan sehingga ADUN seterusnya dilantik.

Terdahulu timbul dakwaan Marina ditekan pihak kepimpinan supaya berundur kerana memuji usaha kerajaan Johor pimpinan Barisan Nasional (BN).

Pada PRN Johor 2022, Marina memenangi kerusi Skudai dengan majoriti lebih 13,000 undi, menewaskan calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast