Nurul Syazwani Noh
Nurul Syazwani Noh

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh menilai sebuah `rumah tangga’ jarang musnah kerana musuh di luar.

Sebaliknya, wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ia musnah apabila penghuni di dalam rumah mula sibuk mencari salah sesama sendiri.

Bekas Ketua Penerangan Srikandi Bersatu itu menambah, apabila ego lebih besar daripada matlamat, maka perceraian hanya menunggu masa.

“Dan apabila “ibu” dan “bapa” gagal berdamai, yang menanggung akibatnya adalah “anak-anak” yang masih mengharapkan sebuah keluarga yang bahagia.

“Ketepikan ego, pandang lah muka kami dan generasi akan datang nanti!” katanya menerusi Facebook hari ini.

Hantaran itu dimuat naik selepas Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli hari ini secara peribadi mencadangkan jalan terbaik bagi Pas dan Bersatu adalah bergerak secara berasingan.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan,  sudah tiada harapan untuk sebarang kerjasama harmoni lagi selepas pemimpin Bersatu di Melaka menyindir pihak yang mendakwa parti itu tiada jentera sebagai pekak.

“Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihanraya. Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau,” tulis Ahmad Fadhli menerusi Facebook. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast