KUALA SELANGOR – Sebanyak tujuh kereta terpakai musnah dalam satu kebakaran di sebuah kawasan pengumpulan kenderaan terpakai di Kampung Tambak Jawa, Batu 17 ½, Sungai Sembilang, Jeram, lewat malam pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 11.30 malam sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 18 minit kemudian selepas menempuh perjalanan sejauh 14 kilometer.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan tujuh buah kereta terpakai pelbagai jenis yang ditempatkan di sebuah kawasan pengumpulan kenderaan terpakai.
“Kebakaran berjaya dikawal pukul 11.52 malam dan operasi pemadaman diteruskan bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya serta mengelakkan kejadian berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran tersebut menyebabkan kira-kira 90 peratus kemusnahan terhadap kenderaan yang terlibat.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam kejadian itu.
Operasi pemadaman melibatkan seramai 10 anggota bomba diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Ismayudin Ibrahim dengan bantuan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Kuala Selangor dan BBP Kapar.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – MalaysiaGazette
















