JOHOR BAHRU – Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor akan mengadakan mesyuarat secara dalam talian malam ini susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan hari ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohd Faezuddin Puad berkata, pihaknya sudah membuat persiapan awal sebelum ini bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Jelasnya yang juga Ketua PKR Cabang Pulai, ia susulan perkembangan politik semasa dan isyarat yang diberikan oleh kepimpinan kerajaan negeri.
“Di peringkat kepimpinan negeri dan AMK, jangkaan bahawa PRN Johor akan diadakan lebih awal sudah dibuat sejak Menteri Besar Johor mengumumkan pada 16 Mei lalu bahawa Barisan Nasional (BN) bersedia bertanding di semua 56 kerusi DUN negeri itu.
“Kita sebenarnya sudah menjangkakan PRN Johor semakin hampir dan persiapan telah digerakkan lebih awal. Jentera parti berada dalam keadaan siap siaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasminya di Saujana di sini setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi tadi.
Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, AMK berharap agar lebih ramai calon muda diberikan ruang dan peluang untuk mewakili parti pada PRN.
Pada masa sama katanya, bilik gerakan utama PKR Johor di Jalan Serampang di sini sudah mula beroperasi sejak dua minggu lalu sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi PRN.
“Sudah tentu pimpinan utama parti akan turun padang termasuk Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi menyelaras gerak kerja jentera,” katanya.
Tambah beliau, sayap AMK dan Wanita PKR juga sudah mengenal pasti calon-calon berpotensi dan senarai nama akan diserahkan kepada kepimpinan parti untuk dinilai sebelum keputusan muktamad dibuat.- MalaysiaGazette
















