JOHOR BAHRU – Pas Johor menyeru seluruh rakyat Johor agar keluar beramai-ramai menunaikan hak mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) ke-16.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, proses itu perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab serta bersama-sama memelihara suasana yang aman, harmoni dan sejahtera sepanjang pilihan raya berlangsung.

“Pas Johor menghormati proses demokrasi dan sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi asas kepada perjalanan pentadbiran negeri dan negara.

”Pas Johor sudah memulakan persiapan awal serta menggerakkan seluruh jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi PRN Johor Ke-16,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Meneurusi PRN Johor pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) menang dengan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam keadaan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu sekitar 54 peratus sahaja.

Mahfodz yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor berkata, Pas Johor juga akan melangkah ke medan PRN Johor Ke-16 selaras dengan ketetapan yang diputuskan oleh Pas Pusat.

Hari ini Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Pembubaran itu diumumkan beliau dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasminya di Saujana di sini setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi tadi.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.

PN pula memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast