SUNGAI BULOH – Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mencabar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sekiranya Johor mengambil langkah sama dilihat dibuat dalam keadaan beremosi dan tidak melalui pertimbangan politik yang menyeluruh.
Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, isu yang sedang berlaku di Negeri Sembilan melibatkan aspek adat, institusi diraja dan kestabilan politik negeri perlu ditangani secara berhati-hati serta mengikut proses perlembagaan.
Beliau berkata, sebarang keputusan untuk membubarkan DUN Negeri Sembilan bukan perkara yang boleh diputuskan secara unilateral kerana ia melibatkan persetujuan pelbagai pihak termasuk kepimpinan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Kerajaan Persekutuan serta perkenan pihak istana.
“Saya melihat kenyataan Anthony Loke itu dibuat secara spontan. Untuk membubarkan DUN Negeri Sembilan, ia memerlukan proses perbincangan yang panjang dan melibatkan pelbagai pihak termasuk kepimpinan tertinggi kerajaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bandar Saujana Utama, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Shahbudin berpendapat sekiranya Johor benar-benar mengambil keputusan membubarkan DUN bagi mendapatkan mandat baharu rakyat, Negeri Sembilan juga wajar mempertimbangkan langkah sama bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlarutan.
“Malah sebelum ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pernah mencadangkan supaya sidang DUN Negeri Sembilan diadakan, namun sehingga kini belum terdapat kepastian mengenai pembukaan semula persidangan tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan UMNO dan BN bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), Shahbudin menegaskan Johor mempunyai kedudukan politik yang berbeza berbanding beberapa negeri lain.
Menurutnya, kerajaan negeri Johor yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dibentuk hasil kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 dan bukannya melalui formula Kerajaan Perpaduan.
“Johor bukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri. BN memenangi pilihan raya dengan majoriti dua pertiga ketika itu.
“Jadi sekiranya UMNO mahu bergerak secara solo, ia tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan terhadap kerjasama politik sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kerajaan negeri Johor bukan sebahagian daripada model Kerajaan Perpaduan, namun pentadbiran negeri tetap menyalurkan bantuan dan peruntukan secara adil kepada semua kawasan termasuk yang diwakili parti pembangkang.
Dalam pada itu, Shahbudin berpandangan landskap politik negara kini semakin matang dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kekuatan lambang parti semata-mata.
Jelasnya, pengundi khususnya golongan muda, pengundi atas pagar dan pengundi kali pertama kini lebih menilai personaliti, rekod perkhidmatan serta integriti calon sebelum membuat pilihan.
“Zaman sekarang ialah zaman teknologi dan kecerdasan buatan (AI). Pengundi boleh mendapatkan maklumat tentang seseorang calon dengan mudah. Rekod baik atau buruk mereka dapat diketahui dalam masa yang singkat,” katanya.
Beliau menegaskan parti-parti politik perlu menampilkan calon yang dikenali masyarakat, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, berakhlak serta bukan calon ‘payung terjun’ sekiranya mahu memenangi hati pengundi.
“Calon yang sentiasa turun padang, dekat dengan rakyat dan memahami masalah masyarakat mempunyai peluang lebih besar untuk memperoleh sokongan berbanding individu yang hanya muncul menjelang pilihan raya,” katanya.
Menyentuh situasi di Negeri Sembilan, Shahbudin berkata, kemelut politik yang berpanjangan boleh memberi kesan terhadap keyakinan pelabur dan pembangunan ekonomi negeri.
Beliau menjelaskan, Negeri Sembilan mencatatkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan apabila berjaya menarik kemasukan pelaburan baharu yang besar dalam sektor perindustrian.
“Pelabur sentiasa melihat kepada faktor kestabilan politik, keselamatan dan ekonomi sebelum membuat keputusan untuk melabur. Jika ketidakstabilan politik berterusan, ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat mencari titik persefahaman bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan demi kepentingan rakyat dan pembangunan Negeri Sembilan.
Dalam masa sama, beliau yakin kerjasama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan terus menjadi faktor utama dalam menentukan pembentukan kerajaan selepas PRU-16.
“Realiti politik semasa menunjukkan tiada satu parti mampu membentuk kerajaan secara bersendirian dan model kerjasama atau gabungan politik akan terus menjadi asas kepada pembentukan kerajaan pada masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















