KOTA TINGGI – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam disifatkan tepat pada masanya terutama kesesuaiannya untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana jika diadakan pada hujung atau awal tahun biasanya musim hujan serta banjir selain bertembung dengan musim perayaan.
“Johor hanya tinggal (beberapa bulan lagi sebelum tamat penggal) patutnya buat pilihan raya negeri bulan April (tahun depan apabila tamat tempoh penggal).
“Kita tahu bulan November, Disember, Januari hujan kan? Banjir di Kota Tinggi ni memang itu (selalu berlaku) dan di tempat-tempat lain, maka sudah tentu tak boleh.
“Masuk pula Februari, Mac dah raya. Lepas tu Johor ni raya panjang. So, bila nak buat? Jadi, kalau dia rasakan ini sesuai, buatlah. Apa masalahnya? Serah mandat balik pada rakyat. Rakyat suka, raya… asalkan ada raya dia suka, ini pilihan raya,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa/Teksi Kota Tinggi di Terminal Bas dan Teksi Kota Tinggi di sini hari ini.
Semalam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
Pembubaran itu diumumkan beliau dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasminya di Saujana di sini setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi semalam.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Khaled Nordin menyampaikan sumbangan dalam program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa/Teksi Kota Tinggi di Terminal Bas dan Teksi Kota Tinggi hari ini.
















