BENTONG – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditampar oleh seorang ahli politik ketika menghadiri sebuah program di Janda Baik, di sinj.
Kejadian didakwa berlaku pada 20 Mei lalu sekitar jam 6 petang di Dewan Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Kampung Janda Baik, ketika Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 yang dianjurkan pihak institusi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahya Othman berkata, laporan berhubung insiden itu diterima pada 30 Mei lalu daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang mendakwa telah ditampar di hadapan beberapa individu yang berada di lokasi kejadian.
“Siasatan awal polis mendapati seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun yang juga seorang ahli politik dipercayai telah menampar pipi kiri mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Difahamkan, tindakan tersebut menyebabkan mangsa berasa tidak berpuas hati sebelum tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan tindakan lanjut.
Susulan laporan itu, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Dalam perkembangan sama, polis turut menerima laporan daripada ahli politik berkenaan kira-kira jam 7 petang semalam. berhubung kejadian tersebut.
Setakat ini, polis telah merakam keterangan mangsa dan suspek serta akan memanggil beberapa saksi bagi membantu melengkapkan siasatan.
Manakala beberapa saksi lain akan dipanggil bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya
Sementara itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden berkenaan kerana ia boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.
Siasatan terperinci masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan fakta kejadian sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















