KUANTAN – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini semakin terasa apabila negeri kelahiran UMNO itu dijangka menjadi medan pertempuran paling sengit dengan kemungkinan berlakunya pertandingan sehingga enam penjuru.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, PRN Johor bakal menjadi pentas pertama bagi parti-parti baharu mengukur kekuatan sebenar mereka di hadapan pengundi.
Menurut beliau, Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli antara parti yang dijangka menggunakan PRN Johor sebagai medan ujian sebelum melebarkan pengaruh ke seluruh negara.
“Parti-parti baharu contohnya Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli, semuanya akan menjadikan PRN Johor sebagai medan uji sokongan.
“Kalau di Johor ini Bersama boleh menang contohnya, jadi tidak mustahil parti itu boleh menang juga di kerusi-kerusi lain ataupun di peringkat Parlimen,” katanya.
Mengulas lanjut katanya jika parti-parti baharu berjaya mencipta kejutan di Johor, ia boleh menjadi petunjuk awal bahawa landskap politik negara sedang berubah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jom Sarapan Pagi di Ghodong Bukit Rangin Perdana, di sini hari ini ketika diminta reaksi pembubaran DUN Johor pada semalam.
Pada semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sekali gus membuka laluan kepada PRN Johor ke-16.
Tambah Mohd Tarmizi, Johor sememangnya antara negeri yang dijangka mengadakan pilihan raya lebih awal berdasarkan perkembangan politik semasa.
Namun ujarnya UMNO berkemungkinan mampu meraihh undi dengan menawan peringkat PRN sahaja berbanding PRU sebenar.
“Kita tahu sokongan kepada kerajaan Madani semakin berkurangan, sokongan pada UMNO juga dilihat semakin merosot kerana pakatan dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
“Jadi antara usaha untuk meningkatkan sokongan ialah dengan mengadakan PRN Johor,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata PN Pahang dan PAS bersedia menggerakkan seluruh kekuatan jentera ke Johor sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh rasmi pilihan raya.
“Kalau SPR sudah mula membuat pengumuman, kita akan menghantar jentera ke Johor.
“Macam biasa ada pilihanraya kecil atau besar yang PN Pahang tidak pernah tak hantar jentera,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















