KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut seperti yang akan berlaku di Johor memberi kelebihan kepada penyandang iaitu Barisan Nasional (BN).
Kata beliau, sentimen lokal sering mengatasi isu nasional, ditambah dengan semangat ‘Bangsa Johor’, sebagaimana berlaku dalam PRN Sabah.
Menurut beliau, BN selesa di hadapan dengan baton ‘simple-majority’ di tangan, namun ‘over-confident’ boleh mengundang padah.
Bagaimanapun, Setiausaha Politik kepada Presiden Pas itu berkata, imej Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang bekerja menjadi kelebihan kepada BN.
Sementara itu, jelasnya, PH pula mengekori rapat dengan DAP dijangka mempertahan kubu sedia ada.
“PKR/AMANAH risiko kehilangan kerusi. Namun kalah tidak mengapa, jawatan GLC jadi taruhan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Tambah beliau, Perikatan Nasional (PN) pula berdepan tugas lebih mencabar yang mana meskipun potensi tetap ada, namun memerlukan lonjakan sokongan.
Jelasnya, calon berwibawa, inklusif, dan berintegriti menjadi tawaran PN.
“MUDA (1) dan BERSAMA boleh mencuba nasib di Johor. Tampilkan calon dan formula baharu. Mungkin ada kejutan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memastikan pilihan raya berlangsung secara adil dan bersih.
Ujarnya, segala ruang politik wang perlu ditutup dan salah guna jentera kerajaan dihentikan, bagi memastikan padang pertarungan sama rata.
“PMX & Jemaah Menteri, tugas kalian di Kabinet & Parlimen, tidak perlu berkampung di Johor. Hentikan amalan ‘projek segera’ atau peruntukan bermusim setiap kali pilihan raya.
“Uniknya kali ini, PH/BN bertembung di Johor, tetapi duduk semeja di Kabinet. Bertanding solo, bergabung kemudian? Rakyat nantikan,” katanya.
Tambah beliau, bagi pengundi, isu ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan kekal menjadi pertimbangan utama.
Pada masa sama, ujarnya, ketokohan serta kewibawaan calon turut mempengaruhi pilihan.
Jelasnya, setiap blok iaitu BN; PH dan PN bergantung kepada pengundi teras, namun undi penentu di tangan anak muda berusia 20-an hingga 40-an, khususnya ‘first time voters’ (FTV) dan pengundi luar yang mahukan perubahan.
“Walhasil, keputusan PRN Johor pastinya mendebarkan, bakal menjadi penanda aras baharu politik nasional.
“Senario pasca-PRN, sebarang kemungkinan.
“Expect the unexpected”” katanya. – MalaysiaGazette
















