PENGERANG – Peranan pengundi muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh diabaikan kerana mempunyai jumlah peratusan yang besar.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, adalah relevan untuk Barisan Nasional (BN) meletakkkan calon muda bagi menarik sokongan pengundi daripada golongan itu.
“Bagi saya, antara ukuran terbesar pada hari ini ialah pengundi muda. Di Pengerang sahaja, statistik menunjukkan lambakan pengundi muda adalah sekitar 40 peratus.
“Ini mungkin menjadi asas penting untuk menentukan kehadiran lebih banyak muka baharu atau calon muda. Kebiasaannya, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memang dilihat sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan bakat-bakat muda ini,” ujar Ahli Parlimen Pengerang itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani 3.0, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di Balai Raya, Kampung Tanjung Serindit, Ladang Sungai Papan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan PRN Johor ke-16.
Sementara itu, Azalina menyifatkan keputusan pembubaran DUN Johor sebagai tepat pada masanya kerana kedudukan kerajaan negeri kini berada pada tahap paling kukuh, hasil sokongan positif yang dizahirkan rakyat terhadap kepimpinan sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu menjelaskan, pengumuman Menteri Besar Johor itu sememangnya hak dan budi bicara kerajaan negeri.
Beliau berkata, desas-desus mengenai pembubaran DUN Johor sudah lama kedengaran dan hanya tarikh tidak diketahui malah ramai menjangkakan PRN Melaka akan diadakan terlebih dahulu diikuti PRN Johor.
“Mungkin dengan apa yang berlaku, sambutan ulang tahun UMNO ke-80 di Istana Besar Johor dan juga kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang kejuaraan Liga Super musim ke-12 berturut-turut, saya tengok bahawa banyak sokongan positif daripada rakyat Johor kepada kepimpinan kerajaan negeri.
“Dan mungkin dari segi pilihan raya negeri ini, saya lihat dan saya nak tekankan kalau boleh kita kena tekankan banyak pada elemen demokrasi. Janganlah ada kekasaran atau wujud masalah dan sebagainya. Jadi dari segi undang-undang kita kena tahu adab kita dalam pilihan raya,” katanya.
Mengenai senarai calon, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada penilaian Biro Politik dan Barisan Nasional (BN) negeri yang mempunyai kayu ukur tersendiri.
Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang turut berharap agar penyandang kerusi DUN di bawah Parlimennya iaitu DUN Penawar, Fauziah Misri dan DUN Tanjung Surat, Aznan Tamin dikekalkan untuk penggal seterusnya.
Jelasnya, kedua-dua wakil rakyat terbabit sudah membuktikan prestasi kerja yang memuaskan dan rakyat terus menunjukkan sokongan padu serta tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan mereka. – MalaysiaGazette
















