KOTA TINGGI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan memberi kesan terhadap kerajaan Perpaduan walaupun nanti berkemungkinan berbeza kerajaan di peringkat negeri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana zaman politik dominasi sudah berakhir dan kini merupakan era politik baharu.
“Kerajaan Perpaduan masih ada. Hanya kena terima hakikat, bahawa keadaan sekarang tak sama macam dulu. Dalam politik baru sekarang, tidak mungkin ada mana-mana parti yang akan mendominasi.
“Jadi, mungkin di Pusat kerajaannya begini, mungkin di negeri kerajaannya begini. Dah kita telah lihat di Pusat (parti) Warisan sebagian daripada kerajaan, di negeri Sabah, dia tidak, dia (jadi) pembangkang.
“Di Johor pula 100 peratus semua kerajaan Barisan Nasional (BN). Di Melaka ada DAP. Jadi di negeri dia boleh pelbagai,” ujar Ahli Parlimen Kota Tinggi itu mengulas sama ada PRN itu akan memberi kesan terhadap kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa/Teksi Kota Tinggi di Terminal Bas dan Teksi Kota Tinggi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khaled Nordin berkata, isunya ketika ini adalah cara untuk membina satu sikap rakyat yang boleh menerima politik era baharu.
Jelasnya yang juga Menteri Pertahanan, ini kerana pada masa akan datang politik negara akan bersifat demikian.
Semalam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
Pembubaran itu diumumkan beliau dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasminya di Saujana di sini setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi semalam.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette
















