GEORGE TOWN – Polis sedang mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian mencuri kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan Batu Uban 1, Gelugor dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang juruteknik TM berusia 41 tahun pada jam 10.50 pagi tadi.
Menurutnya, pengadu memaklumkan telah melihat satu video tular berdurasi satu minit 24 saat pada kira-kira jam 7 pagi yang memaparkan kejadian mencuri kabel di lokasi berkenaan.
“Susulan itu, pengadu menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan mendapati kabel telekomunikasi milik TM sepanjang lebih kurang 70 meter telah dicuri dengan nilai kerugian berjumlah RM17,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Swee Sake, polis masih mengesan suspek yang terlibat dalam kes tersebut.
“Suspek disyaki menggunakan sebuah kenderaan jenis Mazda 6 Hatchback berwarna gelap ketika melakukan jenayah tersebut
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di talian 04-2282222 atau 04-2181881 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan sekumpulan penunggang motosikal mengejar sebuah kereta yang melarikan diri sambil mengheret kabel yang dipercayai dicuri. – MalaysiaGazette
















