AMPANG – Dakwaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagaikan ‘kacang lupakan kulit’ terhadap rakan politiknya tidak timbul, khususnya dalam konteks politik Johor yang menyaksikan parti itu membentuk kerajaan negeri atas kekuatan sendiri.
Ketua UMNO Bahagian Ampang, Mohamed Nadzim Ibrahim menegaskan, kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dicapai menerusi kekuatan parti dan komponennya tanpa bergantung kepada mana-mana pihak lain.
“Kalau dalam aspek Johor, langsung tidak timbul isu kacang lupakan kulit. BN dan UMNO membentuk kerajaan ketika itu atas kekuatan sendiri dan kekuatan komponen parti,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabat UMNO Bahagian Ampang, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan yang dibangkitkan Pemuda DAP (DAPSY) baru-baru ini berhubung hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Nadzim berkata tiada mana-mana gabungan politik ketika itu yang mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Jelasnya, keputusan UMNO dan BN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan dibuat demi memastikan kestabilan negara dan kesinambungan pentadbiran kerajaan.
“Ketika itu tiada satu parti pun yang mampu membentuk kerajaan sendiri. Demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara, UMNO bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan.
“Jadi tidak timbul isu siapa berhutang budi kepada siapa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan rakyat walaupun sedang menjalani hukuman penjara.
“Bosku mempunyai aura dan kekuatan tersendiri. Walaupun berada dalam penjara, sokongan yang diterima masih luar biasa.
“Jika dilihat pada sambutan di media sosial, beliau masih mendapat perhatian yang sangat besar daripada rakyat,” katanya.
Menurut Nadzim, sekiranya Najib kembali ke arena politik, ia berpotensi membawa perubahan besar kepada landskap politik negara.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas secara mendalam mengenai perkembangan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk hubungan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Itu urusan dalaman mereka. Saya tidak fikir wajar untuk saya campur tangan atau membuat ulasan mengenainya,” katanya.
Mengulas kemasukan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke dalam politik Ampang, Nadzim berkata, perkembangan itu bakal memberi kelebihan kepada Perdana Menteri dan berpotensi mengubah dinamika politik kawasan tersebut.
Beliau berkata, kedudukan Rafizi sebagai bekas Ahli Parlimen Pandan yang berjiran dengan Ampang menjadikan persaingan politik di kawasan itu semakin menarik menjelang pilihan raya akan datang.
Pada masa sama, beliau menegaskan UMNO Ampang sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sekiranya berlaku pertandingan secara langsung pada pilihan raya akan datang.
“Jika diarahkan oleh pucuk pimpinan, UMNO Ampang akan turun berjuang habis-habisan. Jentera parti telah bersedia dan pusat daerah mengundi (PDM) juga telah beroperasi. Kami sentiasa bersedia menghadapi apa juga cabaran politik,” katanya.
Menyentuh mengenai masa depan Najib, Nadzim berpandangan ruang perundangan masih ada untuk bekas Presiden UMNO itu ketika ini adalah melalui proses pengampunan diraja.
Beliau berkata, keputusan berhubung perkara itu adalah hak mutlak institusi diraja dan perlu dihormati oleh semua pihak.
“Kami tidak mendesak. Kami hanya menzahirkan kasih sayang kepada pemimpin kami dan berharap dengan ihsan serta kebijaksanaan Tuanku, Datuk Seri Najib dapat diberikan keadilan yang sewajarnya mengikut proses dan pertimbangan yang ditetapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















