JOHOR BAHRU – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim menafikan takut bertanding di kawasan majoriti Melayu sebaliknya mahu kekal di kawasan yang dianggap selamat atau selesa sahaja.
Marina berkata, perkara tersebut bukan satu masalah kerana beliau sebenarnya sudah lama terlibat dalam gerak kerja politik termasuk di Layang Layang iaitu di kawasan majoriti Melayu, sejak 2021.
Ketika itu katanya, beliau dihantar untuk menjalankan kerja lapangan dan membuka pusat komuniti di kawasan berkenaan yang dijangka menjadi lokasi untuk dirinya bertanding.
“Saya seorang budak segar, tiada pengalaman dan mentah dalam politik ketika dihantar buat kerja di Layang-Layang.
“Masa itu saya dijangka akan berdepan dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang ketika itu merupakan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya malam tadi.
Ahad lalu, Marina mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya serta berundur daripada arena politik.
Beliau menegaskan, dirinya tidak pernah mempunyai masalah untuk bekerja di kawasan majoriti Melayu dan turut dibantu sukarelawan yang tidak mempunyai latar belakang politik.
Marina juga turut menolak dakwaan kononnya hanya melalui pencalonannya di kawasan Melayu parti dapat berkembang, sambil mengingatkan beliau pernah memainkan peranan sebagai pengurus kempen di kawasan Mersing pada pilihan raya umum 2022.
Dalam pada itu, Marina turut berkongsi pengalaman berkempen bersama rakan-rakan sukarelawan serta berdepan pelbagai cabaran sepanjang penglibatannya dalam politik.
“Takkan sampai aku nak cerita lagi macam mana aku dengan seorang kawan perempuan Cina aku masuk berdua sahaja berjalan di Felda masa kempen edar flyers jumpa orang kampung.
“Aku seorang perempuan Melayu yang pernah berkempen dan diludah ke muka oleh seorang pakcik,” katanya.- MalaysiaGazette
















