Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

KUALA LUMPUR – Selepas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendakwa tidak dapat mengakses sistem MyKhas sejak 29 Mei lalu seorang lagi ahli parlimen PKR mendakwa dikenakan tindakan sama

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa, pejabatnya tidak lagi mempunyai akses kepada sistem MyKhas sejak 29 Mei lalu, sekaligus menyebabkan urusan berkaitan peruntukan kawasan dan Projek Mesra Rakyat (PMR) tidak dapat diteruskan seperti biasa, selain menuntut penjelasan rasmi berhubung tindakan tersebut.

Chean Chung berkata, beliau mengambil keputusan mendedahkan perkara itu kepada umum selepas mendakwa tiada sebarang penjelasan diberikan berhubung kehilangan akses berkenaan yang menurutnya memberi kesan kepada penyampaian bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat di kawasannya.

Menurut beliau, selepas Wong Chen, beliau merupakan Ahli Parlimen kedua daripada blok kerajaan yang berdepan situasi sama.

“Saya menerima keadaan ini dengan tenang, namun persoalan yang ingin saya kemukakan adalah apakah sebenarnya kesalahan yang telah saya lakukan?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chean Chung menegaskan, beliau masih menyokong Kerajaan Perpaduan, tidak pernah mengumumkan keluar daripada blok kerajaan serta tidak pernah mengundi menentang kerajaan di Parlimen.

Beliau bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan kehadirannya pada majlis pelancaran sebuah parti baharu yang dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu.

Katanya, sekiranya tindakan itu dianggap sebagai pelanggaran disiplin parti, pimpinan seharusnya mengikut proses sewajarnya termasuk mengeluarkan surat amaran, surat tunjuk sebab atau menjalankan siasatan disiplin secara rasmi.

Chean Chung turut memaklumkan bahawa, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh sebelum ini menyatakan pimpinan parti akan menghubungi enam Ahli Parlimen yang menghadiri majlis tersebut, namun sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang makluman rasmi.

Menurutnya, tindakan menyekat akses kepada saluran peruntukan tanpa penjelasan bertentangan dengan prinsip kebertanggungjawaban yang sepatutnya diamalkan dalam sesebuah organisasi politik.

Beliau turut membangkitkan manifesto Pakatan Harapan yang menjanjikan peruntukan pembangunan kawasan akan diberikan secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.

“Bukan sahaja janji tersebut masih belum direalisasikan, malah timbul persepsi bahawa peruntukan boleh diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong kerajaan tetapi pada masa sama boleh dinafikan kepada Ahli Parlimen kerajaan yang dilihat terlalu lantang menyuarakan pandangan atau teguran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada wujud amalan dua darjat atau ‘double standard’ dalam pengagihan peruntukan kawasan sekiranya seorang Ahli Parlimen kerajaan boleh kehilangan akses kepada saluran peruntukan atas faktor politik yang tidak dijelaskan.

Beliau menegaskan isu berkenaan bukan melibatkan kepentingan peribadinya, sebaliknya memberi kesan kepada komuniti setempat, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan memerlukan serta operasi pusat khidmat rakyat yang bergantung kepada peruntukan tersebut.

“Apabila peruntukan disekat, pihak yang paling terkesan bukanlah wakil rakyat tetapi rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak berkaitan memberikan penjelasan segera sama ada kehilangan akses itu berpunca daripada keputusan politik, tindakan disiplin atau sekadar masalah teknikal.

“Jika ini merupakan keputusan politik, nyatakan sebabnya secara terbuka. Jika ini tindakan disiplin, ikutilah proses yang sewajarnya. Jika ini hanyalah masalah teknikal, maka selesaikanlah dengan segera,” katanya. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast