Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah sempena Perasmian Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 hari ini.

KANGAR – Titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menekankan kepentingan kestabilan politik dilihat sebagai mesej penting bagi memastikan negeri itu terus menarik pelaburan serta mempercepatkan agenda pembangunan negeri.

Pengarah Komunikasi Strategik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Perlis, Syed Ahmed Najib Al-Qadri berkata, kestabilan bukan sekadar isu politik sebaliknya keyakinan pelabur, pertumbuhan ekonomi dan keupayaan kerajaan diukur daripada pelaksanaan pembangunan secara berterusan.

“Titah baginda jelas mengingatkan tiada negeri mampu berkembang dalam suasana tidak menentu, manakala pelabur pula memerlukan persekitaran yang stabil sebelum membuat keputusan untuk melabur.

“Pembangunan memerlukan kesinambungan, pelaburan memerlukan keyakinan dan kemajuan memerlukan kestabilan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena Perasmian Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 hari ini.

Beliau juga menyifatkan penegasan baginda supaya projek pembangunan dipercepat dan setiap peruntukan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

“Titah Seri Paduka mencerminkan keperluan untuk semua pihak mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri.

“Masa depan Perlis hanya dapat dibina melalui kestabilan, kerjasama dan komitmen bersama untuk meletakkan kepentingan rakyat serta negeri mengatasi segala pertimbangan lain,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan memerlukan kesinambungan manakala pelaburan memerlukan keyakinan yang hanya dapat diwujudkan menerusi persekitaran yang stabil dan kondusif.

“Tiada negeri yang mampu bergerak maju dalam keadaan ketidaktentuan.

“Tiada pelabur yang mahu melabur dalam suasana tidak stabil dan tiada rakyat mahu melihat masa depan negeri mereka terperangkap dalam konflik berpanjangan,” katanya.

Syed Ahmed Najib berkata, titah baginda perlu difahami dalam kerangka lebih luas di mana kemajuan sesebuah negeri bergantung kepada kestabilan, manakala kestabilan pula memerlukan kematangan semua pihak dalam mengurus perbezaan pandangan dan kepentingan.

“Kejayaan sesebuah kerajaan tidak boleh diukur sekadar melalui pengumuman dasar, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.

“Titah baginda mengenai usaha menjana sumber hasil baharu, menarik pelaburan strategik dan memperkukuhkan daya saing negeri menunjukkan Perlis mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai negeri progresif dan berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai pengiktirafan Tuanku terhadap pendekatan Perlis Mendengar, membuka ruang lebih luas kepada rakyat untuk menyampaikan pandangan, cadangan serta permasalahan secara terus kepada kepimpinan negeri.

“Pembangunan sebenar tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui tahap kesejahteraan dirasai oleh rakyat.

“Prinsip ini perlu sentiasa menjadi kompas kepada setiap dasar dan keputusan kerajaan,” katanya.

Syed Ahmed Najib turut menegaskan, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan merupakan faktor penting dalam memastikan Perlis terus menerima perhatian, pelaburan dan peluang pembangunan yang diperlukan.

“Dalam dunia yang semakin kompetitif, kejayaan sesebuah negeri tidak ditentukan oleh perbezaan politik, sebaliknya oleh kemampuan semua pihak untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.

“Sebagai rakyat yang menjunjung institusi Raja Berperlembagaan, titah Tuanku hari ini merupakan panduan yang jelas kepada kepimpinan negeri, penjawat awam dan seluruh rakyat Perlis.

“Ketika dunia berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan geopolitik yang semakin kompleks, Perlis memerlukan kestabilan, perpaduan tujuan dan kesediaan untuk bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast