Seorang lelaki melecur 50 peratus di beberapa anggota badan dalam dalam insiden letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di Taman Baiduri, Kuala Ina, Alor Gajah, Melaka hari ini. - Gambar: Ihsan JBPM Melaka

ALOR GAJAH – Seorang lelaki melecur 50 peratus di beberapa anggota badan dalam dalam insiden letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di Taman Baiduri, Kuala Ina di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.26 pagi itu, mangsa, Mohamad Edham Zul, 29, yang menyewa di rumah berkenaan, dilaporkan baru pulang dari kampung di Pahang sebelum menyedari terdapat bunyi yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di dapur rumah.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, letupan berlaku secara tiba-tiba ketika mangsa sedang kemudian membuat pemeriksaan.

“Letupan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan melecur yang dianggarkan 50 peratus pada anggota badan sebelum diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Letupan tong gas memasak mengakibatkan kerosakan serius pada bahagian bumbung rumah selain menjejaskan struktur bangunan termasuk pintu dan tingkap selain kesan jelaga dan haba turut ditemui di sekitar kawasan dapur.
– Gambar: Ihsan JBPM Melaka

Tambahnya, pemeriksaan di lokasi mendapati letupan mengakibatkan kerosakan serius pada bahagian bumbung rumah selain menjejaskan struktur bangunan termasuk pintu dan tingkap selain kesan jelaga dan haba turut ditemui di sekitar kawasan dapur.

“Operasi pemantauan dan pemeriksaan keselamatan telah dijalankan bagi memastikan tiada risiko susulan kepada penghuni atau kawasan sekitar.

“Siasatan awal mendapati kejadian disyaki berpunca daripada kebocoran gas LPG yang terkumpul di dalam rumah sebelum berlaku letupan ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast