Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail

KUALA LUMPUR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah perlu diberikan ruang untuk memimpin Perlis sehingga tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir.

Titah baginda, kestabilan pentadbiran amat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang telah dirangka dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negeri.

Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bahawa pentadbiran negeri ketika ini adalah kerajaan negeri pilihan baginda.

“Justeru, beta berharap agar Mamanda Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri yang ke-15 tanpa sebarang kacau ganggu yang akan merencatkan segala perancangan yang telah dirangka,” titah baginda pada Rabu.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Sirajuddin turut menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar mengenepikan perbezaan dan ego masing-masing serta mengutamakan kepentingan rakyat.

Menurut baginda, kerjasama erat dan berterusan perlu diberikan kepada Menteri Besar bagi memastikan kelancaran pentadbiran serta keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast