KUALA LUMPUR – UMNO kini berada dalam keadaan lebih stabil berbanding parti-parti politik lain yang sedang berdepan konflik dalaman dan perebutan kepimpinan.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, parti itu semakin kukuh di bawah kepimpinan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Jangan mereka (DAP) anggap Barisan Nasional (BN) ini parti baharu…parti anak-anak…parti budak-budak. Walaupun kita sedikit kerusi, tapi kena ingat kita mempunyai ahli yang paling ramai sekali di antara parti-parti politik di negara ini.
“Kita adalah paling tua (parti politik) sekali, berpengalaman dan cawangan-cawangan kita tak mati, masih lagi bergerak.
“Dia kena ingat sekarang ini kedudukan UMNO begitu kukuh di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tiada perpecahan yang berlaku,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Beliau juga berkata, UMNO juga terus membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali menyertai parti tanpa syarat yang membebankan.
“Bahkan kita menjadi rumah bangsa. Maknanya orang yang diambil tindakan pun dibuka untuk masuk semula tanpa apa-apa syarat. Isi borang sajalah. Kena ada permohonanlah sikit. Dia bukan secara automatik macam itu.
“Kita membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang mahu kembali berjuang bersama parti,” katanya.
Beliau juga mendakwa, beberapa parti lain sedang berdepan masalah dalaman yang ketara sehingga menjejaskan kekuatan organisasi masing-masing.
“Sekarang ini parti yang tak berpecah, tak berbalah, bahkan yang menjadi tempat berlindung, tempat kembalinya semangat perjuangan adalah UMNO.
“Dalam PKR itu tengah huru-hara. Begitu juga dalam DAP huru-hara. Bagaimana kita tahu Lim Guan Eng dan kuncu-kuncunya sekarang ini bertelagah dengan Anthony Loke.
“Bukan kita tak tahu, secara terbuka. Dalam PN juga bergaduh sesama sendiri. Bahkan dalam Amanah pun bergaduh juga. Jadi bagaimana mereka nak marah kepada UMNO?
“Mereka marah kepada UMNO ini sebab hanyalah UMNO sahajalah tempat yang mereka boleh bergantung harap sekarang ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















