KUALA LUMPUR – Kertas Dasar bagi penggubalan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2026 yang baharu sudah diluluskan oleh Jemaah Menteri, demikian kata Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sehubungan itu, beliau berharap akta berkenaan akan mendapat sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen kelak.
“Moga mendapat dokongan Ahli Parlimen apabila dibentangkan demi memastikan tadbir urus lebih kemas dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya lagi, 80 peratus perubahan besar dalam draf cadangan akta tersebut untuk menggantikan Akta MARA 1966 khususnya mengenai tatakelola dan tadbir urus berasaskan piawaian antarabangsa dan amalan tadbir urus korporat yang baik.
Jelasnya, antraranya termasuklah pemisahan kuasa yang jelas antara Lembaga (Board) dan Pengurusan.
“Tidak seperti mana hari ini yang memberikan kuasa terlalu besar dan pemusatan kuasa kepada Pengerusi MARA yang terdedah kepada pelbagai risiko korporat.
“Segala aspek terkait dengan tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan yang baik bukan sahaja boleh memastikan tiada kecurangan, ketirisan, keborosan mahupun kebobrokan dalam pentadbiran malah menjamin agenda besar Bumiputera dalam aspek pendidikan, ekonomi dan pembangunan usahawan dapat benar-benar direalisasikan dengan berkesan. InsyaAllah,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















