Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun di Istana Negara, hari ini.

Walaubagaimanapun tidak diperincikan inti pati pertemuan berkenaan.

Isnin lalu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkuat kuasa hari ini.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Sebagai info, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk menyempurnakan tugas berbanding melihat keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim hari ini turut berkenan menerima mengadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman di Istana Negara.

Baginda turut berkenan menzahirkan nasihat agar Abdul Halim melaksanakan amanah yang dipikul dengan penuh integriti dalam memperkukuh usaha membanteras rasuah di negara ini.

Sultan Ibrahim bertitah usaha membanteras rasuah hendaklah dilaksanakan secara berterusan, tegas dan tanpa pilih kasih demi memastikan integriti serta kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara.

Sebagai rekod, Abdul Halim dilantik menerajui SPRM berkuat kuasa 13 Mei lalu menggantikan Tan Sri Azam Baki. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast