KUALA LUMPUR – Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Pusat, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi meminta Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan semula keputusan bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, sebaliknya UMNO boleh berunding dengan Pas iaitu parti yang berkongsi ideologi yang sama.
Menurutnya, Pas dan UMNO masing-masing mempunyai kekuatan dan ‘kubu’ tersendiri, justeru akan mencetuskan beberapa kemungkinan jika kedua-dua parti bertanding di kawasan ‘kubu UMNO’ sehingga menyebabkan pertembungan tiga penjuru atau lebih.
Ujarnya, kemungkinan itu termasuk sama ada UMNO, Pas atau Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi tersebut.
“Disebabkan PAS dan UMNO berkongsi segmen pengundi yang sama, bertembung 3 penjuru menguntungkan PH yang didominasi DAP,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Bagaimanapun, tambah beliau, sekiranya Pas dan UMNO menjayakan Muafakat Nasional (MN), ia satu formula paling mujarab untuk pilihan raya dan kebaikan agama, bangsa dan tanah air.
Katanya, dengan kegagalan Pas dan UMNO membina permuafakatan, maka tidak pelik pentadbiran negara terus bergolak.
Dakwa beliau, tindakan kerajaan yang mencarik sensitiviti rakyat teramai terus berlaku serta keputusan dan dasar yang bersifat eksklusif kepada kelompok tertentu terus berbangkit.
“Titik mula Muafakat Nasional di Johor adalah sinar kesejahteraan Malaysia untuk hari mendatang,” katanya.
Menerusi hantaran sama, beliau turut menyertakan infografik yang mana sekiranya dua parti Melayu-Islam terbesar itu melakukan permuafakatan politik, 11 kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN di Johor yang sebelum ini dikuasai PH dapat dimenangi gabungan tersebut. – MalaysiaGazette
















