KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan sudah sampai masanya gagasan Muafakat Nasional (MN) 2.0 dijayakan dengan kehadiran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta beberapa negeri lain dalam masa terdekat.
Menurut beliau, Pas amat mengharapkan semua parti utama, khususnya parti-parti Melayu di negara ini, dapat berfikir secara serius, berlapang dada, mengenepikan perbezaan serta meletakkan masa depan bangsa dan ummah sebagai keutamaan.
Katanya, pembubaran DUN Johor yang akan disusuli di Melaka, Sarawak serta kemungkinan Negeri Sembilan membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam politik negara.
Ujar beliau, ia merupakan satu peralihan yang berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini.
Lebih daripada itu, jelasnya, ia juga mampu membentuk kekuatan politik Bumiputera bukan sahaja di Semenanjung, bahkan juga di Sabah dan Sarawak.
“Semua ini hanya dapat dicapai apabila wujud muafakat dan toleransi antara parti-parti politik utama Melayu-Islam di negara ini,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Tambah Tuan Ibrahim, beberapa isu utama yang memberi kesan kepada orang Melayu dan umat Islam perlu diberi perhatian serius.
Antaranya, kata beliau, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), tindakan melampau membantah titah Raja-Raja Melayu, penukaran status tanah di kawasan majoriti bukan Melayu, usaha mencabar enakmen syariah negeri-negeri serta pelbagai isu lain yang dilihat mencabar kedudukan Islam dan kuasa politik Melayu di Malaysia.
Katanya, perpecahan parti politik Melayu dan kegagalan menyatukan kekuatan politik orang Melayu, termasuk kelompok-kelompok kecil, telah menyebabkan kita menerima kesan yang berlaku pada hari ini.
“Hal ini seharusnya membuka mata pemimpin utama politik Melayu, khususnya PAS dan UMNO, untuk segera bertindak sebelum nasi menjadi bubur,” katanya.
Tambah beliau, kekuatan politik Melayu terletak pada agama Islam yang menjadi alat penyatuan ummah.
Katanya, paksi utama itu mesti dijadikan asas dalam usaha penyatuan, agar generasi yang bakal menerajui politik Melayu pada masa depan mewarisi kekuatan akidah, akhlak dan pegangan agama yang kukuh.
“Sesuatu bangsa akan terus teguh selagi akhlak dan pegangan agamanya utuh. Jika tidak, maka sebaliknyalah yang akan berlaku.
“Benarlah seperti kata penyair Arab terkenal, Ahmad Syauqi Bey:
“Sesungguhnya umat itu bergantung pada keutuhan akhlaknya. Apabila akhlaknya hancur, maka hancurlah umat tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, usaha penyatuan itu perlu disegerakan bermula dengan mendepani PRN Johor, dan terus diperkukuh pada masa hadapan.
Jelasnya, parti-parti politik Melayu pernah bersama dalam sejarah negara yang mana negara pernah menyaksikannya selepas peristiwa 13 Mei, apabila Barisan Nasional terbentuk.
Ujarnya, MN pula terbentuk akibat kebimbangan terhadap usaha kerajaan PH ketika itu yang dilihat boleh menghakis keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia.
“Insya-Allah, apabila Melayu-Islam bersatu, kita akan menjadi kuat dan mampu melindungi hak semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette
















