Foto FB Armizan Mohd. Ali.

KUALA LUMPUR – Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) diperluaskan kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, perluasan tersebut adalah bagi kenderaan jenis pikap dan jip di bawah kelas kegunaan Barang Rigid dan Barang Rigid Decon 950 kilogram hingga 7,500 kilogram.

Walaubagaimanapun katanya, kenderaan yang didaftarkan di bawah kategori kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kategori Khas Lain serta Barangan-Tiada Permit/Off-Road adalah tidak tersenarai.

“Selain berdaftar atas nama syarikat/entiti perniagaan, syarat kelayakan juga meliputi kategori kegunaan yang direkodkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta memastikan status pendaftaran kenderaan sebagai kenderaan perdagangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Armizan berkata, setakat 1 Jun lalu hingga semalam, sebanyak 8,862 buah kenderaan telah berjaya mendaftar melibatkan 8,524 pikap diesel dan 329 buah jip diesel dan sembilan buah jip petrol.

Terdahulu katanya, perkara itu antara penambahbaikan yang dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Selain itu tambah beliau, had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan barangan diselaraskan bagi memperkukuh mekanisme kawal selia untuk mengekang ketirisan subsidi dan penyalahgunaan fleet card.

Jelas Armizan, setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan, tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan yang disenaraikan layak dalam SKDS.

Katanya, syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai keperluan operasi melebihi kuota yang ditetapkan, KPDN menyediakan mekanisme rayuan tambahan kuota melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP).

“Permohonan hendaklah disokong dengan justifikasi keperluan beserta rekod penggunaan sebenar sekurang-kurangnya tiga bulan,” tambahnya.

Ujar beliau, setakat 1 Jun hingga semalam juga, sebanyak lapan syarikat telah mengemukakan permohonan rayuan tambahan kuota yang melibatkan 82 kenderaan telah diterima dan sedang diproses untuk pertimbangan JKSP. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast