Gambar ihsan Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sijil Pentauliahan Kursus Asas Payung Terjun Statik Ram Air Istana Pahang yang berlangsung di Balai Seri Temenggong, Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan, sekali gus menjadi kumpulan perintis Pasukan Payung Terjun Istana Pahang yang diwujudkan hasil kerjasama erat antara Istana Pahang, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Titah Al-Sultan Abdullah, kejayaan melahirkan kumpulan pertama peserta yang berjaya melengkapkan penerjunan sebagai satu pencapaian yang membanggakan serta mencerminkan semangat keberanian dan komitmen tinggi yang dimiliki oleh mereka.

“Buat pertama kalinya kita berjaya mewujudkan satu kumpulan yang berani tampil menyahut cabaran untuk melaksanakan penerjunan.

“Daripada keseluruhan peserta, seramai 25 orang berjaya menamatkan kursus ini dan layak menerima sijil pada hari ini,” titahnya menerusi laman media sosial Kesultanan Pahang hari ini.

Gambar Kesultanan Pahang

Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap kesungguhan para peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang tugas, termasuk pegawai dan anggota yang bertugas secara langsung bersama baginda dalam urusan harian.

“Ada dalam kalangan mereka merupakan pemandu saya sendiri, ada yang membantu dalam persiapan bilik dan urusan harian istana.

“Yang paling mengejutkan saya ialah anggota pengiring bermotorsikal yang turut berjaya menyahut cabaran ini. Syabas saya ucapkan kepada mereka semua,” titahnya.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa simpati terhadap dua peserta yang tidak dapat menamatkan kursus tersebut akibat insiden semasa pendaratan.

Menurutnya, kedua-dua peserta berkenaan secara kebetulan mempunyai nama yang sama iaitu Koperal Aizat.

“Saya mendoakan agar kedua-duanya segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah bahawa latihan penerjunan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kekuatan mental, disiplin tinggi dan keberanian luar biasa untuk mengatasi rasa takut serta cabaran yang dihadapi sepanjang latihan.

Titahnha, sebelum latihan dimulakan ramai yang tampil menawarkan diri untuk menyertainya, namun apabila latihan sebenar bermula, terdapat segelintir yang terpaksa menarik diri atas pelbagai faktor dan komitmen masing-masing.

“Latihan ini amat mencabar. Sebab itu saya amat menghargai mereka yang berani tampil dan terus kekal sehingga berjaya menamatkannya,” titahnya.

Baginda dalam pada itu menegaskan bahawa kejayaan program tersebut tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan padu daripada pelbagai agensi yang terlibat, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Gambar Kesultanan Pahang

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan sokongan yang banyak membantu menjayakan program ini.

“Komitmen serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak amat bermakna dan membolehkan program ini dilaksanakan dengan jayanya,” titahnya lagi.

Baginda turut menzahirkan penghargaan khusus kepada JBPM atas bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang pelaksanaan kursus berkenaan.

“Saya amat terharu dengan bantuan yang diberikan. Hubungan antara pihak bomba dan institusi istana sentiasa erat dan berada pada tahap yang sangat baik,” titah Paduka Baginda.

Menurut baginda, satu lagi siri latihan penerjunan dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada lebih ramai anggota dan kakitangan yang berminat untuk menyertai program berkenaan.

Mengakhiri titah, Al-Sultan Abdullah mendoakan agar seluruh peserta, tenaga pengajar, anggota keselamatan serta semua yang terlibat sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast