GEORGE TOWN – Kerja pembinaan dua stesen utama Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kini menunjukkan kemajuan ketara sejak majlis pecah tanah projek itu pada Januari tahun lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, orang ramai dijangka dapat melihat gambaran sebenar rupa bentuk stesen-stesen LRT Laluan Mutiara dalam masa terdekat apabila reka bentuknya memperoleh kelulusan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Beliau berkata, reka bentuk stesen berkenaan kini sedang menunggu kelulusan MBPP yang dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat.
“Saya dimaklumkan bahawa tiang jejambat (piers) untuk stesen LTAPP dan struktur jejambat (viaduct) kini sedang dalam pembinaan, dengan lima tiang jejambat telah terbentuk.
“Bagi Stesen Bandar Sri Pinang pula, kemajuannya adalah lebih ke hadapan, yang mana kerja-kerja asas serta pembinaan kolum stesen telah siap dilaksanakan.
“Projek kini bakal memasuki fasa pembinaan struktur utama stesen dengan komponen crosshead dijangka tiba di tapak dalam masa terdekat,” katanya selepas menghadiri sesi taklimat oleh SRS Consortium sebelum meninjau tapak pembinaan Bandar Sri Pinang dan LTAPP, hari ini.
Menurut beliau, Stesen Bandar Sri Pinang mempunyai kedudukan strategik sebagai hab tumpuan Laluan Mutiara kerana terletak di kawasan perbandaran pesisir pantai yang padat dengan pembangunan kediaman bertingkat tinggi serta berhampiran Persiaran Karpal Singh.
Katanya, stesen itu akan dilengkapi akses keluar masuk di kedua-dua belah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu bagi menghubungkan kawasan kediaman dan pusat aktiviti ekonomi di sekitarnya.
Jelas beliau, stesen LTAPP yang akan dilengkapi jambatan penghubung ke terminal baharu lapangan terbang bakal berperanan sebagai pintu masuk antarabangsa penting kepada Pulau Pinang serta menyediakan sambungan terus ke Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas, Komtar dan Penang Sentral di Butterworth.
“Orang ramai juga perlu bersedia menghadapi sedikit kesulitan lalu lintas apabila projek berkenaan memasuki fasa pembinaan yang lebih aktif pada separuh kedua tahun ini.
“Kita menjangkakan kerja-kerja pembinaan akan menjadi lebih intensif. Pelaksanaan pelan pengurusan trafik (TMP) di kawasan FIZ Bayan Lepas serta penutupan lorong secara berperingkat untuk kerja pembinaan di sepanjang jajaran sejauh 23.7 kilometer dari Komtar hingga ke Pulau Silikon adalah petanda jelas fasa aktif ini.
“Justeru, saya berharap rakyat akan terus memberikan sokongan kepada projek Kerajaan Persekutuan ini demi masa depan Pulau Pinang yang lebih baik,” katanya.
Pada masa ini, kerja pembinaan tiang jejambat sedang dijalankan di 14 lokasi sepanjang jajaran LRT termasuk di Permatang Damar Laut, Gelugor, SPICE, Jelutong Timur, Macallum dan bersebelahan Cecil Residensi.
TMP pertama di persimpangan Jalan Tengah-Jalan Sultan Azlan Shah pula telah mula dilaksanakan pada awal Mei lalu, manakala dua lagi kawasan kritikal dijadualkan menyusul pada separuh kedua tahun ini. – MalaysiaGazette
















