Rafizi bersama-sama penyokong dalam Siri Pertama Jelajah Kancil di Johor di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru, malam ini.

JOHOR BAHRU – Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan parti politik lain dan kekal bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pemimpin parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Bersama kekal pendirian meskipun bakal berdepan risiko kehilangan deposit pada PRN ke-16.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, walaupun Bersama baru berusia tiga minggu, parti itu menetapkan pendirian bagi menawarkan pilihan alternatif kepada pengundi.

“Parti yang dah lama pun ada bertanding dan hilang deposit, apatah lagi parti Bersama yang baharu ini. Jika tidak hilang deposit, maknanya benih yang kita tanam sudah mula tumbuh. Kalau hilang deposit pula, kita perlu bekerja lebih keras dan menilai semula kelemahan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Siri Pertama Jelajah Kancil di Johor di Pusat Konvensyen Danga Bay di sini malam ini.

Rafizi berkata, sasaran jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN Johor dijangka diumumkan dalam tempoh seminggu lagi selepas parti itu meneliti sambutan akar umbi serta tahap kesiapsiagaan jentera di setiap kawasan.

“Kami sudah ada angka awal dan sudah mengenal pasti kerusi yang berpotensi ditandingi, tetapi perlu semak semula berdasarkan sambutan di bawah dan kesediaan jentera.

“Sama ada 10, 12 atau 20 kerusi, tunggu pengumuman rasmi nanti,” ujar bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Dalam pada itu, bekas Menteri Ekonomi itu berkata, pihaknya akan membuka sistem permohonan bagi mereka yang ingin menjadi calon parti itu bagi PRN Johor pada Isnin ini.

Katanya, parti itu tidak akan mengambil calon tangkap muat sebaliknya setiap permohonan akan ditapis satu jawatankuasa khas.

“Calon kami akan terdiri daripada golongan tua dan muda bagi memenuhi aspirasi setiap golongan pengundi.

“Kita juga akan memberi tumpuan bagi calon daripada golongan muda seperti ahli-ahli ekonomi dan profesional kerana mereka inilah yang akan menerajui negara pada masa hadapan,” katanya.

Rafizi turut memaklumkan parti itu telah menerima hampir 24,000 ahli baharu setakat ini.

Pada 17 Mei lalu, Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar PKR.

Rafizi dan Nik Nazmi kemudian mengumumkan mengambil alih Bersama iaitu sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.

DUN Johor ke-15 dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN Johor ke-16. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast