Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan gimik Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2026.

ISKANDAR PUTERI – Barisan Nasional (BN) menolak dakwaan gabungan itu hanya memperjuangkan kepentingan satu kaum semata-mata, sebaliknya terus komited membangunkan Johor untuk seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kekuatan sebenar BN terletak pada kerjasama antara parti-parti komponennya yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat.

“Jangan biarkan orang menakut-nakutkan rakyat kononnya BN hanya untuk satu kaum sahaja. Kita jawab dengan jelas. BN membangunkan Johor untuk semua.

“Kita membela Melayu tanpa meminggirkan kaum lain. Kita menjaga semua tanpa melupakan akar negara,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, di sini, hari ini.

Beliau turut menyeru semua parti komponen termasuk Malaysian Chinese Association (MCA), Malaysian Indian Congress (MIC), People’s Progressive Party (PPP) serta Friends of BN supaya menggerakkan jentera masing-masing secara menyeluruh.

“MCA mesti menjadi pendamping masyarakatnya. MIC mesti memastikan masyarakat India memilih perjuangan yang sama.

“PPP & Friends of BN perlu menggerakkan kesinambungan perpaduan. Inilah kekuatan BN apabila semua komponen bergerak bersama.

“Satu panji. Satu tekad. Satu perjuangan. Kita mesti bawa mesej BN ke setiap penjuru Johor,” katanya.

Menurutnya, perpaduan dan kesepaduan dalam BN merupakan faktor utama yang mampu menjamin kestabilan politik serta kemakmuran negeri.

“Bangsa Johor kukuh kerana BN menjadi tiang seri kestabilan. Inilah kekuatan BN. Kita tegas tanpa menindas. Kita sederhana tanpa menggadai maruah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast