ISKANDAR PUTERI – Bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Noh Omar hari ini mengisytiharkan menyertai semula UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu juga pada masa sama melepaskan semua jawatan dan keahliannya dalam Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya, keputusan keluar daripada Bersatu dibuat kerana mendapati parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menghormati prinsip dan keputusan ditetapkan Majlis Tertinggi parti.
“Saya lihat prinsip perjuangan Bersatu dan UMNO berbeza, jauh berbeza. Sebagai contoh, Majlis Tertinggi Bersatu buat keputusan tidak akan mengambil tindakan disiplin kepada ahli-ahli.
“Tetapi selepas mesyuarat nampaknya mereka tidak hormati keputusan itu, sebaliknya terus kenakan tindakan.
“Saya memang sudah letak jawatan dan keluar Bersatu, jadi saya ingat tidak perlu tulis surat, saya dah isytihar perkara itu jadi secara automatik saya sudah keluar.
“Perjuangan saya mesti ada prinsip, dan saya kata dari dahulu bahawa saya tidak bersetuju UMNO dengan DAP. Hari ini UMNO Johor telah pun mengisytiharkan tidak bersama-sama dengan DAP, sebab itu saya kembali bersama dengan UMNO dan juga BN,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di Stadium Tertutup Kompleks Educity di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran; Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Noh berkata, beliau terbuka untuk menyertai UMNO kembali selepas melihat prinsip UMNO Johor yang tegas dan konsisten menolak kerjasama dengan DAP.
“Saya amat menghormati prinsip UMNO dan BN di negeri ini, apatah lagi selepas mendengar ucapan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Disebabkan itulah saya bersetuju kembali dengan BN menjelang PRN Johor ini.
“Saya juga yakin, insya-Allah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 nanti, UMNO akan mempunyai prinsip yang sama, tidak akan bersama dengan DAP,” katanya.
Ditanya pendirian tentang pendirian politik anaknya, Nurul Syazwani yang merupakan wakil rakyat Bersatu, beliau tidak dapat memberikan komen ketika ini.
“Nurul (Syazwani) sekarang masih lagi ADUN Bersatu (Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang) jadi mengenai dia kita tunggulah,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap UMNO akan menjalinkan kembali kerjasama dengan Pas sekali gus menyatukan lagi kekuatan perpaduan Melayu.
“Saya yakin kalau UMNO dengan Pas boleh bersama-sama, mereka boleh tubuhkan kerajaan tanpa perlukan bantuan daripada parti-parti lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















