KUALA LUMPUR – Selama hampir empat tahun, UMNO, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mempertahankan naratif kestabilan negara mengatasi perbezaan ideologi dan kepentingan politik parti.
Formula itu membolehkan Kerajaan Perpaduan bertahan sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun dibentuk daripada parti-parti yang pernah menjadi seteru politik.
Namun, perkembangan sepanjang minggu lalu menunjukkan naratif tersebut semakin sukar dipertahankan.
Bermula dengan keputusan Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal walaupun kerajaan negeri masih mempunyai majoriti selesa dan berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal, tindakan itu segera mencetuskan kritikan terbuka daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Pada pelancaran jentera PH Johor di Batu Pahat, isu kos pilihan raya yang dianggarkan mencecah puluhan juta ringgit dibangkitkan sebagai antara alasan mengapa pembubaran awal dianggap tidak perlu ketika keadaan politik negeri berada dalam keadaan stabil.
Kritikan itu bagaimanapun mengundang reaksi balas daripada pemimpin UMNO yang mempertahankan keputusan kerajaan negeri Johor mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Pertembungan tersebut mungkin kelihatan biasa dalam mana-mana pilihan raya. Namun dalam konteks semasa, ia menarik perhatian kerana berlaku antara parti-parti yang masih berkongsi kuasa dalam kerajaan yang sama di Putrajaya.
`Saya rela tak pegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP’ – Onn Hafiz
Belum reda polemik pembubaran DUN, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa beliau tidak sanggup menjadi Menteri Besar jika perlu membentuk kerajaan bersama DAP pula membuka episod baharu dalam perdebatan politik menjelang PRN.
Kenyataan itu segera dibalas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri duduk bersama pemimpin DAP dalam mesyuarat Kabinet setiap minggu.
Namun Zahid pula mengingatkan bahawa tanpa BN, Kerajaan Perpaduan mungkin tidak dapat dibentuk selepas PRU-15.
Dilihat secara berasingan, setiap kenyataan itu mungkin sekadar sebahagian daripada kempen pilihan raya.
Namun apabila disusun sebagai satu rangkaian peristiwa, ia memperlihatkan sesuatu yang lebih besar.
Buat pertama kali dalam tempoh yang panjang, perdebatan utama dalam politik negara bukan lagi antara kerajaan dan pembangkang, sebaliknya antara parti-parti yang berada dalam kerajaan yang sama.
Apa yang sedang berlaku di Johor menunjukkan bahawa menjelang PRU-16, parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan semakin cenderung bercakap kepada penyokong masing-masing berbanding mempertahankan naratif bersama yang membentuk kerajaan tersebut.
PRN Johor mungkin hanya pilihan raya negeri, namun perkembangan yang berlaku sejak beberapa hari lalu memberi gambaran awal bahawa cabaran terbesar Kerajaan Perpaduan selepas ini mungkin bukan datang daripada pembangkang, tetapi daripada perbezaan politik yang selama ini berjaya disimpan di bawah satu bumbung yang sama. – MalaysiaGazette
`Presiden kamu tiap-tiap minggu duduk sebelah SU Agung DAP’, Anthony bidas Onn Hafiz
Tanpa 30 kerusi BN, Kerajaan Persekutuan tak terbentuk – Zahid
















