[Gambar hiasan] Warga Rohingya menjual juadah berbuka puasa kepada warganya pada bulan ramadan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar pasar borong Selayang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil langkah lebih tegas dan menyeluruh dalam menangani isu komuniti Rohingya yang menimbulkan keresahan rakyat termasuk masalah sosial dan keselamatan yang semakin kerap dibangkitkan sejak kebelakangan ini.

Naib Presiden Gerakan, Datuk G Parameswaran berkata, walaupun Malaysia selama ini terkenal sebagai negara yang prihatin terhadap aspek kemanusiaan, kepentingan rakyat tempatan dan kedaulatan negara tidak boleh diketepikan.

Beliau berkata, kebimbangan rakyat hari ini bukan lagi tertumpu kepada isu kemasukan pelarian semata-mata, sebaliknya melibatkan pelbagai masalah sosial yang didakwa semakin kerap berlaku dan dikaitkan dengan sebahagian komuniti Rohingya di negara ini.

“Rakyat melihat pelbagai isu sosial, masalah penempatan, kegiatan ekonomi tanpa dokumen yang jelas serta pelbagai aduan lain yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan keharmonian masyarakat setempat.

“Kita bersimpati dengan nasib mereka yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan di negara asal. Namun pada masa sama, kerajaan perlu mengakui bahawa keresahan rakyat mengenai isu Rohingya semakin meningkat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Parameswaran berkata, kerajaan tidak boleh mengambil sikap menunggu sehingga berlaku insiden lebih serius sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya.

Menurut beliau, sentimen semakin ketara dalam kalangan rakyat termasuk kemunculan petisyen dalam talian yang mendapat sokongan meluas berkaitan Rohingya perlu dilihat sebagai isyarat bahawa ramai rakyat mahukan penyelesaian lebih jelas terhadap isu tersebut.

Naib Presiden Gerakan, Datuk G Parameswaran

“Kerajaan perlu mendengar suara rakyat. Jangan hanya melihat perkara ini dari sudut kemanusiaan semata-mata tanpa mengambil kira aspek keselamatan, kestabilan sosial dan kesejahteraan rakyat tempatan.

“Jika isu ini terus dibiarkan berlarutan tanpa dasar yang jelas, ia berpotensi menimbulkan ketegangan sosial yang lebih besar pada masa hadapan,” tegasnya.

Beliau berkata, kebimbangan disuarakan rakyat tidak seharusnya terus dilabel sebagai sentimen perkauman atau kebencian, sebaliknya perlu ditangani secara matang melalui dasar dan penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Katanya, Malaysia bukan negara penempatan kekal bagi pelarian dan sebarang cadangan yang boleh membawa kepada pemberian status tetap kepada golongan berkenaan perlu diteliti secara berhati-hati.

“Malaysia perlu kekal berpegang kepada prinsip kemanusiaan, tetapi pada masa sama kerajaan mesti memastikan kepentingan nasional dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Jangan sampai rakyat merasakan suara dan kebimbangan mereka tidak didengari sedangkan isu ini semakin hangat diperkatakan di pelbagai peringkat,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan mempercepatkan usaha penempatan semula pelarian ke negara ketiga dengan kerjasama badan antarabangsa serta memperketatkan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara.

Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini seharusnya tertumpu kepada kebajikan rakyat Malaysia yang sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan isu perumahan.

“Kerajaan perlu menunjukkan ketegasan dan memberikan hala tuju yang jelas dalam menguruskan isu ini sebelum ia menjadi lebih rumit untuk diselesaikan,” katanya. – MalaysiaGazette.

Tuntutan etnik Rohingya untuk penempatan tetap, sentuh isu kedaulatan negara – Nurulhidayah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast