Datuk Mustapha Nagoor

SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan menolak dakwaan parti itu menjadi punca utama krisis politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor sebaliknya menegaskan, kemelut tersebut berpunca daripada kegagalan Menteri Besar menangani isu yang berbangkit sejak awal.

“UMNO sejak awal lagi telah memberi peringatan bahawa punca krisis ini berpunca daripada kegagalan Menteri Besar mengurus dan menyelesaikan isu yang timbul secara berkesan.

“Kegagalan mengambil tindakan sewajarnya menyebabkan krisis berlarutan sehingga mencetuskan polemik terbuka melibatkan institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Co-Ruler.

“Malangnya segala peringatan tersebut tidak diendahkan sehingga keadaan menjadi semakin parah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada 27 April lalu, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan dan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun susulan kegagalannya menangani krisis Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.

Mustapha berkata, sepanjang tempoh krisis berlangsung, Menteri Besar juga didakwa tidak pernah mengadakan pertemuan rasmi atau perbincangan serius dengan 14 ADUN UMNO bagi membincangkan jalan penyelesaian.

“Mengapa UMNO terus dipersalahkan sedangkan beberapa kenyataan kritikal terhadap Menteri Besar datang daripada pihak lain termasuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin,” tegasnya.

Katanya, sehingga kini Menteri Besar masih belum mengeluarkan kenyataan yang mampu meredakan keadaan selain terus menyalahkan UMNO.

“UMNO tidak lari daripada tanggungjawab. UMNO mengambil pendirian berdasarkan prinsip dan demi mempertahankan maruah institusi negeri,” katanya.

Krisis politik Negeri Sembilan memuncak apabila DUN negeri itu dibubarkan pada 5 Jun lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast