Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran CelcomDigi’s Advanced Intelligent Warehouse di Hap Seng Business Park, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 09 JUN 2026.

SHAH ALAM – Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) disaran mengemukakan cadangan berkaitan keupayaan teknologi 5G yang boleh meningkatkan produktiviti serta pertumbuhan perniagaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata cadangan tersebut seterusnya dipertimbangkan untuk menjadi salah satu agenda Belanjawan 2027.

“Kita nak syarikat-syarikat PMKS lihat sendiri apa yang boleh dimanfaatkan dengan teknologi 5G bagi kegunaan mereka dan kita nak ada perbincangan sikit supaya kita (boleh bawa beberapa perkara keperhatian pihak MOF untuk dipertimbangkan, ada mungkin beberapa insentif yang boleh disediakan tertakluh kepada keputusan yang akan dibuat oleh Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika sidang media selepas merasmikan CelcomDigi’s Advanced Intelligence Warehouse hari ini.

Selain itu, Fahmi juga mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berbincang dengan syarikat-syarikat telekomunikasi khusus mengenai  aplikasi yang boleh memanfaatkan teknologi 5G.

Katanya, kerajaan juga terbuka untuk mempertimbangkan pemberian insentif tertakhluk kepada pertimbangan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi akan mengadakan libat urus dengan pemain  industri bagi mengumpul cadangan-cadangan untuk diketengahkan dalam Belanjawan 2027.

Sementara itu, beliau memaklumkan liputan rangkaian 5G di Malaysia, setakat ini mencapai 84 peratus dan menyasarkan untuk mencapai 98 peratus menjelang 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast