Seorang dari lelaki cuba melarikan diri dengan sebuah kereta BWM selepas dipercayai mencuri kabel milik Telekom Malaysia di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi Isnin.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Hoo Chang Hook berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial pada 8 Jun yang memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai sedang melakukan kegiatan mencuri kabel menggunakan sebuah kenderaan sedan mewah.

“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.30 pagi pada 8 Jun 2026 di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang saksi yang sedang menjalankan kerja-kerja berkaitan topografi ternampak lima lelaki tidak dikenali sedang menarik keluar kabel milik TM dari sebuah lubang utiliti (manhole) menggunakan sebuah kereta BMW,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sekumpulan lima lelaki melarikan diri dengan menaiki tiga kereta BWM selepas dipercayai mencuri kabel milik Telekom Malaysia di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi Isnin.

Chang Hook berkata, saksi berkenaan kemudiannya menegur kumpulan tersebut sebelum mereka bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Suspek dipercayai melarikan diri menggunakan tiga buah kenderaan BMW, iaitu dua berwarna putih dan sebuah lagi berwarna hitam,” katanya.

Menurut Chang Hook, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi turut mengesahkan penglibatan lima lelaki dalam kejadian berkenaan yang menggunakan tiga buah kenderaan seperti dilaporkan saksi.

“Pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha mengesan dan mengenal pasti semua suspek yang terlibat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihak TM telah hadir bagi membantu siasatan serta mengesahkan kerugian akibat kejadian itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM20,000.

Susulan kejadian tersebut, polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Polis turut mengingatkan masyarakat supaya segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang melibatkan infrastruktur utiliti awam bagi mengelakkan kerugian lebih besar serta gangguan kepada perkhidmatan telekomunikasi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast