Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar Foto MOHD ADZLAN, 11 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 Jumaat lalu tidak sah dan tidak diiktiraf dari sudut perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Pengelola Bijaya Diraja Azizi Mohamad Ali menegaskan, gelaran yang dikatakan cuba diambil Tunku Nadzaruddin tidak berkuat kuasa.

Beliau memaklumkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan media, malam ini.

“Dengan cuba menerima gelaran yang tidak sah itu, Tunku Nadzaruddin dengan sendirinya telah melepaskan gelaran pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya.

“Sehubungan itu, tiada lagi penyandang gelaran pusaka Tunku Panglima Besar,” kata kenyataan itu.

Pada 5 Jun lalu, Tunku Nadzaruddin dilaporkan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam majlis di sebuah resort di Melaka.

Pemasyhuran itu diisytiharkan oleh Undang Luak Jelebu Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian berkata, kerajaan persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pada 19 April lalu, Undang Yang Empat mengisytiharkan ‘pemecatan’ Tuanku Muhriz yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 26 Okt 2009 selepas kemangkatan Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast