Saifuddin memberi sijil kepada penerima dalam Program Citra Negara Menteri Dalam Negeri:Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Pakatan Harapan (PH) menolak tanggapan akan meraih keuntungan politik selepas Pas memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perpecahan yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) itu bukan faktor yang menjadikan gabungan politik tersebut semakin kuat.

Sebaliknya PH yakin kekuatan gabungan berkenaan terhasil daripada hubungan yang dibina berasaskan kepercayaan dan saling menghormati antara parti-parti komponennya.

“Kita tak jadi kuat kerana perpecahan lawan. Kita jadi kuat kerana kita bina kekuatan kita sendiri.

“PH ini kekuatannya dibina hanya melalui usaha yang kita. Maknanya hubungan tiga parti kita jalin terus berasaskan pada prinsip kepercayaan, hormat, saling percaya, saling menghargai.

“Dalam PH, kamu kuat, kami manfaat kekuatan kamu. Kamu lemah, kami sama-sama bantu memperbaiki kelemahan itu,” ujar Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian pada sidang akhbar Program Citra Negara Menteri Dalam Negeri:Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat di sini hari ini.

Terdahulu, Pas mengejutkan landskap politik tanah air apabila membuat ketetapan mengejut untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya dalam PN itu.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan memutus hubungan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast